KUALA LUMPUR: Sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan pembukaan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA ‘17), mata ribuan pengunjung terpaku melihat aksi-aksi hebat ditampilkan jagoan udara daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Bagaikan terpana semuanya, kalangan pengunjung termasuk para pegawai dan anggota tentera yang hadir dari 36 buah negara, hampir semuanya menghalakan telefon bimbit masing-masing ke udara bagi merakamkan aksi-aksi hebat tersebut yang diberi penerangan secara bersemangat menerusi pembesar suara oleh Mejar Thayala Kunte.
Memulakan acara, tiga buah pesawat F/A-18D Hornet yang sudah 20 tahun berjasa kepada ruang udara tanah air, mengejutkan barisan orang kenamaan (VIP) dan pengunjung apabila muncul secara tiba-tiba dari arah belakang tempat duduk dengan kelajuan penuh sambil melepaskan percikan api.
Tapak pameran bagaikan bergegar apabila beberapa pesawat SU 30 MKM kendalian 11 Skuadron terbang rendah dan bersilang sebelum lima pesawat Hawk kendalian 6 dan 15 Skuadron turut melintas dengan ketinggian hampir sama sekali gus menyebabkan para pengunjung merasai tiupan angin daripadanya.
Tiga pesawat Eurocopter EC725 kemudiannya mengambil alih ‘pentas’ utama sebelum versi terbaru pesawat Pilatus PC-7 MK II terbang secara santai sambil turut membawa bendera Jalur Gemilang melintasi ruang udara.
Seterusnya, Perdana Menteri bersama para pengunjung dipertontonkan dengan kemasukan aset terbaharu TUDM iaitu tiga pesawat pengangkut termoden dunia, A400M buatan Airbus Defence & Space (ADS).
Salah satu daripada pesawat gergasi itu menunjukkan kebolehannya dengan melakukan pusingan tajam ke kiri dan kanan sehingga menampakkannya seolah-olah terbang mengiring.
Sebagai penutup para pesawat terlibat sekali lagi melintasi ruang udara dengan kelajuan tinggi dalam pelbagai formasi.
Penghasilan letupan sehingga menampakkan api yang marak serta asap tebal menambah debaran penonton sebelum disambut dengan tepukan gemuruh.- Utusan Malaysia
LIMA2017: TUDM Pamer Kemampuan Pesawat
Reviewed by uMieySurianie
on
March 22, 2017
Rating:
Reviewed by uMieySurianie
on
March 22, 2017
Rating:

No comments: