Seo Services

Pembangunan Penampang Tidak Pernah Diabai


KOTA KINABALU: Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) menafikan tuduhan sesetengah pihak, khususnya pembangkang, kononnya tidak ada pembangunan di Penampang oleh kerajaan Barisan Nasional setelah ia berada di bawah pembangkang.

Setiausaha Agung UPKO Datuk Donald Peter Mojuntin berkata walaupun beliau bukan lagi wakil rakyat kawasan itu sejak pilihan raya umum yang lalu, namun Sabah yang diterajui BN tidak mengabaikan pembangunan di kawasan berkenaan demi kepentingan rakyat.

“Kalau kita melihat kepada senarai pembangunan yang dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, sudah beratus juta ringgit digunakan (untuk pembangunan di kawasan Penampang). Baru-baru ini, projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog sudah dilancarkan.

“Ini untuk menangani masalah banjir di kawasan Penampang dan Putatan. Ini peruntukan terbesar di Sabah untuk menangani masalah itu,” katanya merujuk kepada projek tebatan banjir bernilai RM281 juta yang mula dilaksana pada November tahun lalu dan majlis pecah tanahnya dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin Isnin lalu.

Peruntukan RM281 juta itu merupakan sebahagian daripada RM481 juta yang disediakan kerajaan persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi pelaksanaan empat pakej projek tebatan banjir di kawasan itu yang dijangka siap pada tahun 2020.

Dengan adanya projek yang akan mengurangkan kesan bencana banjir itu, hampir 300,000 penduduk Penampang dan Putatan dijangka akan mendapat manfaat secara langsung atau tidak langsung daripada projek itu.

Donald berkata semasa kawasan berkenaan diwakili oleh wakil rakyat daripada BN, ratusan juta ringgit juga dibelanjakan termasuk pembinaan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) dan bangunan Mahkamah Anak Negeri Penampang.

Menurutnya berjuta-juta ringgit juga dibelanjakan kerajaan BN di bawah program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk pembinaan jalan raya utama dan berturap di kawasan berkenaan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu manakala pencapaian akademik pelajar di kawasan berkenaan meningkat saban tahun.

Katanya semua ini adalah hasil usaha kerajaan BN untuk membawa kemudahan kepada penduduk Penampang untuk meningkatkan tahap pembangunan fizikal dan insan di kawasan itu.

“Kalau pembangkang mengatakan tiada pembangunan, mereka seharusnya menyenaraikan apa lagi yang belum dilaksanakan.

Sekurang-kurangnya kalau mereka buat senarai seperti itu, boleh juga kami daripada kerajaan ini untuk melakukan usaha menyelesaikan masalah rakyat. Tetapi kalau hanya mengatakan tidak ada pembangunan sahaja, tidak asilah (tidak adillah) orang Sabah bilang (kata orang Sabah),” katanya. — Bernama
Pembangunan Penampang Tidak Pernah Diabai Pembangunan Penampang Tidak Pernah Diabai Reviewed by Unknown on March 03, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.