KUCHING: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian menggesa pihak polis terus memerangi jenayah judi di negeri ini termasuk di Lawas.
Menurutnya, selain isu penyalahgunaan dadah, masalah judi siber juga dilihat berleluasa di kawasan itu.
“Memetik laporan akhbar tempatan sebelum ini menyatakan operasi antiperjudian dilaksanakan oleh polis, dan ia adalah berita yang kita mahukan.
“Tetapi kawasan Lawas tidak termasuk dalam serbuan polis, justeru saya menggesa pihak polis menumpukan usaha mereka di kawasan tersebut,” katanya.
Menurut Baru, beliau mempunyai sebab dan percaya masalah itu terus meningkat jika dibiarkan.
Malah kesannya pada unit keluarga dan masyarakat akan menjadi lebih teruk.
“Berdasarkan maklumat terkini yang saya terima, terdapat peningkatan dalam bilangan kafe siber haram yang menjadi pusat perjudian di Lawas yang beroperasi 24 jam.
“Penduduk Lawas bimbang bahawa ramai pengusaha memohon lesen perdagangan dari Majlis Daerah untuk perniagaan seolah-olah sah tetapi menggunakan premis untuk dijadikan sebagai sarang judi,” katanya.
Baru berkata pegawai-pegawai Majlis Daerah perlu menyemak permohonan tersebut dengan teliti dan menjalankan pemeriksaan premis sebelum mengeluarkan lesen perniagaan.
Tambahnya jika Pejabat Daerah dan polis bekerjasama dalam memantau aktiviti pengusaha perniagaan yang meragukan, tidak ada sebab untuk kegiatan perjudian siber berkembang di Lawas kerana kawasan itu bukan bandar besar, dan orang ramai yang tahu apa yang sedang berlaku di bandar mereka.
“Malah orang ramai bersedia untuk membantu dengan memberikan maklumat kepada polis berhubung isu tersebut.
“Tidak dinafikan bahawa serbuan hanya sedikit pernah dijalankan di Lawas pada masa lalu dan saya tertanya-tanya mengapa masih terdapat banyak pusat-pusat haram beroperasi,” katanya.
Beliau turut meminta agar Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar untuk menjalankan operasi dalam memerangi ancaman berganda penyalahgunaan dadah dan judi haram di Lawas supaya ia dapat dibanteras seterusnya dihapuskan.-UB
Pengerusi PKR Gesa Polis Perangi Judi Di Lawas
Reviewed by Unknown
on
March 22, 2017
Rating:

No comments: