Tempoh menunggu menunaikan haji telah dipendekkan daripada 102 tahun kepada 89 tahun berikutan penambahan kuota haji rakyat negara ini kepada 30,200 berbanding 27,900 orang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pengurangan tempoh menunggu sehingga 13 tahun itu menggembirakan 2.5 juta pendeposit Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang mendaftar untuk menunaikan haji.
“Lawatan Raja Salman Abdulaziz Al Saud ke Malaysia baru-baru ini membawa berita gembira kepada jemaah haji yang terpaksa menunggu lama untuk menunaikan ibadat haji.
“Dengan penambahan kuota haji, tempoh menunggu dikurangkan 13 tahun dan kita bersyukur dengan perkembangan ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PAS Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat, hari ini.
Januari lalu, kuota haji Malaysia dikembalikan kepada 27,900 berbanding 22,230 orang sejak 2013.
Terdahulu menjawab soalan Ahli Parlimen PAN Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli, Jamil Khir menyifatkan kadar hibah Tabung Haji bagi tahun kewangan 2016 yang diumumkan bulan lalu sebanyak 4.25 peratus kepada 9.1 juta pendepositnya adalah kompetitif berbanding simpanan di institusi perbankan Islam lain.
Jamil Khir berkata, simpanan di Tabung Haji dijamin oleh kerajaan dan pemberian hibah sudah mengambil kira 2.5 peratus bayaran zakat tahun 2016 iaitu sebanyak RM60.3 juta.
Beliau berkata, prestasi Tabung Haji kekal positif walaupun berdepan persekitaran ekonomi dunia yang tidak menentu bagi tahun 2016 dan dijangka berterusan tahun ini.
“Indeks Syariah Bursa Malaysia telah menyusut sebanyak 6 peratus pada tahun lalu. Manakala purata dividen daripada syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia ialah sekitar 3 peratus.
“Pulangan daripada pasaran bon juga berada dalam ‘trend’ menurun ekoran kadar penurunan polisi semalaman oleh Bank Negara Malaysia.
“Situasi ini bukan sahaja terkesan dan dihadapi oleh Tabung Haji sahaja, malah Institus kewangan Islam yang lain turut terkesan. Namun begitu Tabung Haji kekal positif meskipun ekonomi global tidak menentu sekarang,” katanya.
3 Februari lalu Tabung Haji telah mengumumkan kadar hibah bagi tahun kewangan 2016 kepada pendeposit sebanyak 4.25 peratus dan tambahan hibah haji 1.5 peratus kepada pendeposit yang belum pernah menunaikan fardu haji. - BNBCC
Tempoh Tunggu Giliran Tunai Haji Dipendekkan 13 Tahun
Reviewed by Unknown
on
March 27, 2017
Rating:
Reviewed by Unknown
on
March 27, 2017
Rating:

No comments: