
AYER KEROH: Kerajaan akan memastikan kadar peratusan pengangguran dalam kalangan siswazah dan belia lebih rendah menerusi pelaksanaan Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata mengikut laporan dikeluarkan Bank Negara, kadar peratusan pengangguran golongan berkenaan di negara ini masih tinggi.
"Laporan Bank Negara yang baru dikeluarkan, walaupun kadar pengangguran dalam negara rendah sekitar dua hingga tiga peratus tetapi dalam kalangan siswazah agak tinggi iaitu 10 peratus.
"Kita mahu pastikan bahawa sejurus golongan ini meninggalkan institusi pengajian tinggi masing-masing menjelang 2030, mereka sudah mendapat tempat dalam sektor pekerjaan," katanya pada sidang media, di sini.
Beliau berkata demikian mengulas aspirasi seorang peserta yang juga pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC) menyuarakan hasrat mahu melihat negara sifar penganggur pada Siri Dialog TN50 peringkat negeri di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.
Sesi dialog itu turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron selaku moderator kedua selepas Khairy Jamaluddin dan mendapat sambutan kira-kira 1,500 belia negeri itu.
Khairy berkata, mana-mana teori ekonomi turut mengakui akan terdapat sedikit peratusan pengangguran setiap negara, malah mustahil untuk mencapai kadar sifar.
Sementara itu, katanya, pelan transformasi itu akan turut memastikan generasi akan datang tidak 'mewarisi' beban peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat kini.
"Saya lihat dengan sendirinya isu kos sara hidup ini akan dapat ditangani jika aspirasi ini dapat dilaksanakan dengan baik oleh kerajaan contohnya antara penyumbang terbesar kos sara hidup tinggi ialah perumahan.
"Tetapi apabila kita dapat melabur dengan menjadikan kawasan bandar dan luar bandar kita lebih 'liveable' dengan rumah mampu milik, pengangkutan awam lebih murah ini dengan sendirinya menyelesaikan masalah kos sara hidup," katanya. - BH
TN50 Sasar Kurangkan Pengangguran Siswazah
Reviewed by Azmin
on
March 28, 2017
Rating:
No comments: