Seo Services

Usaha Dua Loji Kuasa Arang Batu Sarawak Energy Diiktiraf

 Abang Johari  (dua kanan) menyampaikan anugerah kepada Sharbini (dua kanan) dan Pengurus Stesen Loji Kuasa Arang Batu Sejingkat, Simon Chen (kanan).
KUCHING: Dua loji kuasa arang batu Sarawak Energy memenangi Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri Sarawak (CMEA) 2015/2016 pada malam anugerah berprestij yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan kepada usaha kedua-dua loji tersebut untuk memastikan impak alam sekitar diminimumkan dalam operasinya.

Sejingkat Power Corporation Sdn Bhd merangkul anugerah Platinum, manakala Mukah Power Generation menerima anugerah Emas bagi kategori ‘Large Industries’ di bawah perkhidmatan bekalan elektrik.

Anugerah disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Sharbini Suhaili dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Lu Yew Hung.

Majlis anugerah tersebut dianjurkan oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak dan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) malam Rabu lepas.

Ini merupakan anugerah Platinum kali kedua dimenangi oleh Sejingkat Power Corporation, manakala anugerah Emas kedua bagi Mukah Power Generation daripada CMEA.

Mengulas mengenai kejayaan itu, Sharbini berkata anugerah tersebut merupakan hasil komitmen Sarawak Energy ke arah perlindungan alam sekitar.

Anugerah ini turut menunjukkan kesungguhan mereka dalam mengurangkan pelepasan karbon menerusi amalan dan pengurusan alam sekitar yang lebih baik.

“Kami akan meneruskan campuran penjanaan yang baik untuk memenuhi permintaan elektrik di Sarawak dan memperluaskannya di seluruh negeri ini.

“Kami amat menghargai anugerah ini dan akan meneruskan usaha kami untuk memperbaiki proses operasi kami dengan amalan yang mampan serta baik kepada alam sekitar,” katanya.

Pada CMEA 2014, Sejingkat Power Corporation muncul pemenang keseluruhan dalam Kategori Perkhidmatan Industri Mega-Telekomunikasi, Bekalan Elektrik, Pelupusan Sisa dan Bekalan Air.

Pada tahun itu, Sarawak Energy turut menerima dua emas di bawah kategori yang sama bagi Bintulu Tanjung Kidurong Power Station dan Mukah Power Generation.

Satu lagi fasiliti, Batang Ai Hydro Power Station memenangi Emas dalam Perkhidmatan dan Lain-Lain Sektor (Kategori Industri Sederhana). - UB
Usaha Dua Loji Kuasa Arang Batu Sarawak Energy Diiktiraf Usaha Dua Loji Kuasa Arang Batu Sarawak Energy Diiktiraf Reviewed by Azmin on March 04, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.