KUCHING: Sebanyak 102 rumah nelayan yang berdaftar dengan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sri Muara akan dibaik pulih melibatkan kos lebih RM1.2 juta, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menurutnya, berkemungkinan tahun ini kerja-kerja membaik pulih itu akan dilaksanakan.
"Anggaran kos bagi sebuah rumah ialah RM12,000 dan penilaian sama ada layak untuk mendapatkan bantuan ini adalah menerusi PNK masing-masing," katanya.
Memetik laporan Utusan Borneo, Wan Junaidi turut meluluskan beberapa projek kecil untuk penduduk di Muara Tebas dengan peruntukan tambahan berjumlah RM360,000.
Ia melibatkan pembinaan pintu gerbang di jalan masuk Kampung Muara Tebas dengan kos RM30,000, baik pulih JKKK Kampung Muara Tebas (RM40,000), pembinaan titian belian baharu (RM50,000), pembinaan jambatan kayu dari rumah ke rumah (RM30,000), pembelian pinggan mangkuk (RM10,000) dan membina parit baharu (RM200,000).
Semasa kunjungan tersebut, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong turut menerima beberapa permohonan daripada penduduk Kampung Muara Tebas termasuk pembinaan benteng Kampung Baru Muara Tebas.
Perkara lain termasuk permohonan untuk memasang pagar di Masjid Muara Tebas termasuk memasang jubin lantai dan peralatan sistem bunyi lebih baik.-Sarawakiana
102 Rumah Nelayan PNK Sri Muara Dibaik Pulih
Reviewed by Unknown
on
April 03, 2017
Rating:
No comments: