SYDNEY: Pengawal selia di Australia meningkatkan pemantauan terhadap sektor hartanah selepas data baharu di beberapa bandar raya menunjukkan kenaikan tertinggi harga hartanah dalam tempoh tujuh tahun.
Badan pengawas korporat Australia hari ini berkata, ia melancarkan pusingan baharu pemantauan industri bagi memastikan bank dan broker tidak menawarkan pinjaman faedah-saja yang terlalu mahal kepada pengguna.
Menerusi pinjaman faedah-saja, peminjam hanya membayar amaun faedah dalam tempoh yang ditetapkan, biasanya antara lima hingga tujuh tahun.
Selepas tempoh itu, peminjam biasanya membuat pinjaman semula hartanah untuk membayar sekali gus pokok, atau baru mula membayar ansuran untuk pinjaman pokok.
Langkah oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Pelaburan Australia (ASIC) itu menjejaki tindakan yang diumumkan minggu lalu oleh badan pengawas perbankan, Australian Prudential Regulation Authority, yang mengetatkan peraturan ke atas pinjaman faedah-saja.
Ia mencerminkan tekanan yang dihadapi oleh pengawal selia negara itu untuk membendung kenaikan mendadak harga hartanah, apabila kadar faedah yang rendah menyebabkan hutang isi rumah melonjak.
"ASIC tidak lama lagi akan memulakan pengawasan untuk mengenai pasti peminjam dan broker gadai janji yang menawarkan pinjaman faedah-saja yang lebih mahal," kata ASIC.
Pengawal selia itu juga berkata, lapan peminjam utama akan menyediakan bantuan kepada pengguna yang menghadapi kesukaran kewangan akibat masalah daripada pinjaman terdahulu. - Reuters
Harga Rumah Di Australia Naik Mendadak
Reviewed by Azmin
on
April 03, 2017
Rating:
No comments: