KUCHING : Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberi jaminan kepak ayam yang dikeluarkan di dalam negara atau diimport dari sumber yang sah adalah selamat untuk dimakan.
Katanya, Sarawak membenarkan pengimportan produk ayam itik dari pusat sembelihan di luar negara yang telah diperiksa dan diaudit oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Beliau memberi jaminan itu berhubung kebimbangan orang ramai untuk memakan kepak ayam susulan insiden di Sibu baru-baru ini apabila tiga kontena mengandungi kira-kira 4.5 tan kepak ayam ditanam pada 30 dan 31 Mac di lot kosong di Jalan Teluk Engkalat off Jalan Aup.
Bagaimanapun, tiga hari kemudian, kepak ayam itu kemudiannya digali oleh beratus-ratus penduduk setempat yang turut menjualnya selain untuk kegunaan sendiri.
Gambar dan klip video insiden itu menjadi tular di media sosial yang menimbulkan kebimbangan penduduk sejak beberapa hari lepas.
Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar berkata kementeriannya tidak dimaklumkan sebelum kerja pelupusan itu oleh pasukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).
"Apabila disemak dengan pihak berkuasa Veterinar negeri, tiada sebarang import veterinar yang dikeluarkan dan sehubungan itu, pengimportan itu dianggap sebagai tidak sah.
"Siasatan lanjut mendapati kepak ayam itu adalah dari Belanda dan bukan New Zealand seperti dilaporkan akhbar tempatan," katanya.
Beliau berkata pengimportan produk ayam dari Belanda digantung pada 8 Dis 2016 berikutan wabak Selesema Burung (H5N1).
"Pelupusannya terletak di bawah bidang kuasa KDRM. Pengimportnya sedang disiasat oleh Cawangan Siasatan Frod Perdagangan untuk tindakan lanjut," katanya.
Uggah berkata semua pengimport yang berhasrat mengimport ternakan dan produk ternakan perlu terlebih dahulu mendapatkan pandangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri untuk memohon permit yang diperlukan.
Beliau berkata ini berikutan kebimbangan berhubung keadaan penyakit itu di negara pengeksport yang mungkin berubah dari semasa ke semasa. - Bernama
Kepak Ayam Dari Sumber Sah Selamat Dimakan - Uggah
Reviewed by Unknown
on
April 07, 2017
Rating:
Reviewed by Unknown
on
April 07, 2017
Rating:

No comments: