
KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya memperbaiki kedudukan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila melonjak empat anak tangga ke tangga 157 berbanding tangga ke-161 sebelum ini.
Menerusi ranking terbaru diumumkan FIFA itu, Malaysia turut menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik Asia Tenggara (ASEAN) di belakang Filipina (127), Thailand (129) dan Vietnam yang menduduki tangga ke-136.
Bagaimanapun, Iran muncul negara terbaik Asia apabila menduduki tangga ke-28, mengatasi Korea Selatan yang turun lima anak tangga di kedudukan ke-43 sementara Jepun satu anak tangga di belakang Korea Selatan.
Secara keseluruhan, ranking nombor satu dunia kembali menjadi milik Brazil, sekali gus mengetepikan seteru Amerika Selatannya, Argentina yang kini berada di tangga kedua.
Jerman dan Chile kekal di tangga ketiga dan keempat dunia sementara Colombia melonjak ke tangga kelima dan Perancis kekal di tangga keenam dengan Belgium jatuh di tangga ketujuh.
Portugal, Switzerland dan Sepanyol masing-masing melengkapkan senarai 10 negara terbaik dunia apabila menduduki tangga ke-8, 9 dan 10.
Beberapa negara lain seperti Itali dan England terkeluar dari kelompok 10 terbaik apabila masing-masing menduduki tangga ke-12 dan ke-14. - BH
Malaysia Naik 4 Tangga Ranking FIFA
Reviewed by Azmin
on
April 07, 2017
Rating:
No comments: