KUCHING: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Sarawak disarankan untuk menggunakan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi membantu sekolah-sekolah yang memerlukan dalam kawasan masing-masing.
Akhbar Utusan Borneo melaporkan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg berkata, meskipun bidang pendidikan merupakan bidang kuasa kerajaan pusat namun kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada bantuan dari kerajaan pusat.
"Jika ada sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan, ia harus dimasukkan ke dalam senarai RTP bagi melaksanakan projek tersebut.
"Setiap wakil rakyat BN diperuntukkan dengan RTP sebanyak RM5 juta bagi melaksanakan segala projek yang membawa keuntungan dan kebaikan kepada rakyat," ujar beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Naik Taraf Dewan dan Makmal Pembelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik) di Sekolah Kebangsaan (SK) Rakyat Haji Bolhassan di sini, semalam.
"Jika terdapat sekolah-sekolah dalam kawasan anda yang memerlukan bantuan dengan peruntukan yang tidak terlalu tinggi, ia boleh dimasukkan ke dalam senarai projek RTP anda," tegas beliau.
Menurutnya, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada sumber kerajaan pusat dan kita harus mencari inisiatif sendiri untuk membangunkan bidang pendidikan dalam kalangan anak-anak Sarawak.
Ujarnya, Sarawak perlu mempertingkat dan melengkapkan anak-anak dengan ilmu terkini teknologi digital kerana dunia kini sudah berubah dan tiada sempadan dalam ruang siber.
Abang Johari menegaskan kepentingan pelajar di Sarawak untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang sains dan teknologi digital.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Muda Belia dan Sukan dan Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Datuk Talip Zulpilip, Naib Chanselor UNIMAS Profesor datuk Dr Mohamad kadim Suaidi dan Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak, Rakayah Madon. - Sarawakiana
Wakil Rakyat BN Digesa Guna Peruntukan RTP Bantu Sekolah Memerlukan
Reviewed by Azmin
on
April 07, 2017
Rating:
Reviewed by Azmin
on
April 07, 2017
Rating:

No comments: