BAITULMAQDIS: Pasukan keselamatan Israel menanggalkan pengesan logam yang dipasang baru-baru ini di pintu masuk ke perkarangan Masjid Aqsa di Kota Lama, semalam.
Bagaimanapun, rejim Zionis itu menggantikannya dengan kamera litar tertutup (CCTV), dengan harapan ia menenangkan keadaan yang membawa kepada pertumpahan darah beberapa hari.
Penduduk Palestin berkata, langkah keselamatan baharu itu tidak dapat diterima.
Israel memasang pengesan logam itu selepas dua anggota polis ditembak mati pada 14 Julai lalu, mencetuskan pertempuran paling berdarah antara Israel dan Palestin dalam masa beberapa tahun.
Peningkatan ketegangan dan kematian tiga warga Israel serta empat penduduk Palestin dalam keganasan Jumaat dan Sabtu lalu menimbulkan kebimbangan antarabangsa, selain memaksa Majlis Keselamatan bersidang untuk mencari jalan membendung krisis.
"Semua pihak perlu berusaha mengurangkan ketegangan dan kami menawarkan apa saja bantuan yang boleh.
"Di kawasan suci, penting bagi akses dan keselamatan terjamin," kata Duta Amerika Syarikat ke PBB, Nikki Haley.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan ulama kanan yang memantau Al-Aqsa membantah langkah keselamatan baru Israel itu serta mendesak semuanya ditanggalkan.
"Semua langkah keselamatan baharu Israel yang dipasang sejak 14 Julai lalu perlu ditanggalkan supaya keadaan kembali tenang di Baitulmaqdis dan kita boleh menyambung tugas mengenai hubungan dua hala," kata Abbas pada awal pertemuan dengan kepemimpinan Palestin. - Reuters
Bantah CCTV di Al-Aqsa
Reviewed by Unknown
on
July 26, 2017
Rating:
No comments: