IBU negeri Hawaii, Honolulu meluluskan undang-undang melarang pejalan kaki melintas jalan sambil melihat atau menaip pesanan di telefon bimbit bermula Oktober ini.
Lapor BBC, undang-undang terbaharu itu menjadikan Honolulu sebagai bandar pertama di Amerika Syarikat (AS) yang meluluskan undang-undang berkenaan bagi mengurangkan kecederaan dan kematian akibat leka semasa berjalan kaki.
Mereka yang didapati melihat peranti, termasuk komputer riba dan kamera digital berdepan denda $AS15 (RM64.22) hingga $AS35 (RM149.85) untuk kali pertama dan sehingga AS$99 (RM423.87) untuk kesalahan berulang.
“Kami sekarang memegang rekod paling ramai pejalan kaki dilanggar ketika melintasi jalan raya terutama membabitkan golongan dewasa berbanding bandar-bandar lain,” kata Datuk Bandar Honolulu, Kirk Caldwell,
Caldwell menandatangani undang-undang itu pada Khamis lalu selepas menerima kelulusan daripada Majlis Perbandaran pada awal bulan ini.
Sementara itu, kajian Universiti Maryland pula menunjukkan lebih 11,000 kecederaan berlaku membabitkan kecuaian akibat melihat telefon bimbit semasa berjalan di seluruh AS antara tahun 2000 hingga 2011.
Undang-undang baharu itu bagaimanapun dibantah beberapa pihak yang mendakwa kerajaan seakan berlebih-lebihan membuat peraturan, kerana sebenarnya apa yang masyarakat perlukan ialah sedikit kesedaran mengenai perkara itu. – MYNEWSHUB.CC
Denda Buat Pejalan Kaki Guna Telefon Bimbit
Reviewed by Unknown
on
July 31, 2017
Rating:
No comments: