Seo Services

Industri Penerbangan Negara Perlu Tingkat Aspek Keselamatan, Kualiti


KUALA LUMPUR -- Syarikat penerbangan di Malaysia perlu menjaga kualiti selain meningkatkan aspek keselamatan bagi memastikan reputasi industri penerbangan negara kekal setanding dengan industri penerbangan antarabangsa.

Konsultan Industri Penerbangan Jaafar Zamhari berkata selain isu keselamatan, faktor lain yang diambil kira penumpang adalah kredibiliti syarikat penerbangan, harga, keselesaan dan jadual penerbangan yang lancar.

"Adalah menjadi tanggungjawab syarikat penerbangan untuk melaksanakan apa yang terkandung dalam SOP (Prosedur Operasi Standard)...setiap pesawat yang hendak berlepas perlu diperiksa. Jabatan Penerbangan Awam atau DCA adalah regulator teknikal bagi industri penerbangan awam akan membuat pemeriksaan atau audit berkala ke atas syarikat tersebut sebelum ia diluluskan.

"Pihak regulator atau pengawal selia mengambil berat dan sedang mempertingkatkan usaha atau pemantauan ke atas perkara yang melibatkan faktor kemanusiaan. Ia adalah salah satu agenda penting dalam industri penerbangan awam pada masa ini contoh dari segi waktu rehat (kru penerbangan)," katanya dalam program Ruang Bicara yang disiarkan oleh Bernama News Channel, semalam.

Jaafar juga berpandangan sektor pengangkutan udara negara masih di tahap selamat sungguh pun Malaysia diuji dengan peristiwa pesawat MAS MH370 dan MH17 yang berlaku tiga tahun lepas.

"Kalau kita lihat dari segi penerbangan udara pada 2013 cuma terdapat 90 kemalangan yang mengakibatkan kematian sebanyak 173 orang, manakala 2014 terdapat 98 kemalangan melibatkan kematian iaitu sebanyak 904 orang termasuk insiden MH370 dan MH17.

"Bagi kenderaan darat contohnya kereta di Malaysia sahaja, pada tahun yang sama, lebih daripada 470,000 kemalangan berlaku dan nyawa yang hilang hampir 7,000 orang," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Sufian Jusoh ​​​ berkata isu keselamatan penerbangan tidak boleh dipandang mudah dan penyelesaian proaktif perlu diambil bagi memastikan tidak berlaku sebarang insiden yang tidak diingini selain mengekalkan reputasi syarikat.

"Untuk MAS, sebuah syarikat yang mempunyai reputasi tinggi dan mempunyai jangkauan yang jauh mereka perlu mengekalkan rangkaian tersebut. Ini adalah isu yg penting untuk syarikat penerbangan. Kalau diambil sambil lewa mereka tidak akan dibenarkan untuk beroperasi,” katanya.

Beliau juga berpendapat sudah tiba masanya syarikat penerbangan tempatan tidak lagi menghidangkan minuman beralkohol dalam penerbangan bagi menjaga aspek keselamatan.

Pada 8 Mac 2014 dunia digemparkan dengan kehilangan pesawat MAS MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 12 anak kapal serta 227 penumpang.

Lebih memilukan apabila pesawat MH17 telah ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.

-- BERNAMA
Industri Penerbangan Negara Perlu Tingkat Aspek Keselamatan, Kualiti Industri Penerbangan Negara Perlu Tingkat Aspek Keselamatan, Kualiti Reviewed by Unknown on July 25, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.