Seo Services

Menteri puji usaha Sarawak tangani rabies


BAU: Kesungguhan kerajaan negeri Sarawak menangani wabak rabies atau penyakit anjing gila sejak ia dikesan penghujung Jun lalu disifatkan sesuatu yang amat dikagumi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, tindakan pantas dan berterusan yang dilaksanakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berjaya mewujudkan zon penampan bagi menghalang penularan ke kawasan yang lebih luas.

Bagaimanapun katanya, terlalu awal untuk meramalkan kemungkinan wabak itu dihapuskan dalam masa terdekat.

"Berdasarkan laporan terkini yang kita terima, semua sampel anjing yang diuji adalah negatif wabak berkenaan.

"Kita juga tidak menerima laporan kes baharu wabak itu (yang menjangkiti manusia) dalam tempoh beberapa minggu ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat operasi pemvaksinan anjing di Dewan Suarah di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus meningkatkan usaha untuk menangani wabak itu dengan menambah kakitangannya untuk membantu melaksanakan pemvaksinan di Sarawak.

"Ketika ini kita sudah menghantar 10 kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dari Semenanjung dan akan menghantar antara 10 ke 20 orang lagi bagi meningkatkan kemampuan," katanya.

Selain itu katanya, sebanyak 50,000 vaksin sudah ditempah dari Pertubuhan Kesihatan Haiwan di Bangkok untuk memastikan lebih banyak haiwan peliharaan menjalani vaksinasi.

"Kita sudah menghantar 47,000 vaksin ke Sarawak dan 23,000 daripadanya sudah digunakan," katanya. - BHOnline
Menteri puji usaha Sarawak tangani rabies Menteri puji usaha Sarawak tangani rabies Reviewed by Azmin on July 31, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.