Seo Services

Pelajar 14 Tahun Tidak Sangka Tunai Haji Pada Usia Muda


KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Sekolah Mene­ngah Tan Sri Ghazali Jawi, Gerik, Perak, Nur Nadia Halim Shah, 14, tidak menyangka terpilih untuk menunaikan ibadat haji tahun ini sekali gus menjadi jemaah haji paling muda dalam kumpulan pertama.

Anak bongsu kepada pasangan usahawan dan guru itu berkata, dia bersyukur kerana berpeluang menunaikan rukun Islam kelima bersama sembilan lagi ahli keluarga yang menggunakan sepenuhnya simpanan sendiri.

“Sejak saya sekolah rendah lagi, kami sekeluarga dididik untuk menabung, saya mula menyim­pan wang sedikit demi sedikit tetapi tidak sangka akan terpilih untuk menunaikan haji secepat ini.

“Saya juga membuat persediaan dengan menyertai kursus haji yang disediakan Tabung Haji selain mencari maklumat lain dan berjanji tidak akan melepaskan peluang dan berdoa di hadapan Kaabah supaya berjaya dalam peperiksaan besar dalam hidup saya,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya dekat sini hari ini.

Bagi warga emas, Amran Ali Sudin, 73, dia tidak meng­anggap usia lanjut menjadi penghalang untuk menunaikan haji bersama anak perempuannya sekeluarga.

“Saya boleh berjalan tetapi sebagai persediaan, anak tetap sediakan kerusi roda untuk memudahkan urusan kami di sana. Saya sangat gembira kerana menunggu hampir 10 tahun, akhirnya kami sekeluarga mendapat peluang untuk ke Tanah Suci.

“Jika difikirkan memang susah untuk menunaikan haji dengan keadaan badan yang tidak mengizinkan, tetapi apabila sudah dipilih untuk ke Tanah Suci, saya tidak mahu melepaskan peluang ini kerana ia hanya datang sekali dalam seumur hidup,” katanya yang berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan.

Dia ditemani anak perem­puannya, Faridah Lubis Amran, 50, bersama suami, Firdaus Anson Abdullah dan cucunya, Nur Farhana Firdaus, 19.

Perasaan teruja itu turut dirasai pasangan dari Sungai Besar, Selangor iaitu Baharom Awang ,60, dan Normah Mohammad, 60, yang berpeluang menjejak kaki ke Tanah Suci dalam keadaan sihat dan bertenaga.

“Kami berdua baharu sahaja bersara daripada perkhidmatan awam dan bersyukur kerana diberikan peluang untuk menjejak kaki ke sana dalam keadaan yang sihat,” kata Baharom.-Utusan Malaysia
Pelajar 14 Tahun Tidak Sangka Tunai Haji Pada Usia Muda Pelajar 14 Tahun Tidak Sangka Tunai Haji Pada Usia Muda Reviewed by Unknown on July 26, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.