KUALA LUMPUR: PETRONAS dan rakan kongsinya memutuskan untuk tidak meneruskan projek Pacific NorthWest LNG di Port Edward yang terletak di British Columbia, Kanada.
Projek dianggarkan bernilai AS$28.8 bilion itu membabitkan pembinaan dua terminal LNG di Pulau Lelu, British Columbia.
Mengikut PETRONAS, keputusan itu dibuat selepas kajian semula yang berhati-hati dan menyeluruh terhadap projek berkenaan di tengah-tengah perubahan yang berlaku dalam persekitaran pasaran.
Naib Presiden Eksekutif yang juga Ketua Eksekutif Huluan PETRONAS, Anuar Taib, berkata pihaknya kecewa dengan persekitaran yang amat mencabar serta krisis harga yang berpanjangan dan perubahan dalam industri tenaga sehingga keputusan itu diambil.
"Kami bersama-sama dengan rakan kongsi, North Montney kekal komited untuk membangunkan aset gas asli kami yang penting di Kanada dan akan terus meneroka semua pilihan sebagai strategi pelaburan jangka panjang kami pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Komitmen PETRONAS di Kanada diteruskan melalui Progress Energy Canada Ltd dan inventori sumber gas asli yang berkelas dunia yang mana anak syarikat itu memainkan peranan penting dalam menyokong strategi pertumbuhan PETRONAS di Amerika Utara.
PETRONAS dan rakan kongsi projek juga bersyukur atas sokongan yang diterima daripada semua pihak yang terbabit terutama di kawasan First Nation, wilayah Port Edward, bandar Prince Rupert dan komuniti terbabit di atas pembabitan dan usaha mereka yang tidak ternilai dalam projek berkenaan. - BHOnline
PETRONAS Tak Teruskan Projek LNG Di Kanada
Reviewed by Azmin
on
July 26, 2017
Rating:
Reviewed by Azmin
on
July 26, 2017
Rating:

No comments: