Seo Services

Polis Selangor selesai 10 kes samun babit RM15 juta

gambar fail

SHAH ALAM: Polis Selangor berjaya menyelesaikan 10 kes samun, termasuk dua di Kuala Lumpur, membabitkan kerugian berjumlah RM15 juta selepas menangkap sekumpulan suspek yang merompak premis barang kemas di sebuah pusat beli belah di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata semua lapan kes itu berlaku di sekitar Shah Alam, Banting, Puchong, Sri Kembangan, Kajang dan Brickfields pada 2015 serta kes baharu yang berlaku semalam.

"Kita berjaya menahan tujuh lelaki berusia dalam lingkungan 17 hingga 45 tahun di sebuah rumah teres satu tingkat di Kampung Lalang, Hampar Tenang, Dengkil pada jam 2 petang semalam.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Revolver Heavy Barrel, empat tukul besi, 182 rantai leher emas, 179 gelang tangan, 442 cincin, 244 loket dan tiga subang.

"Turut dirampas tujuh kenderaan pelbagai jenis, jaket, sarung tangan, topeng muka, topi keledar dan telefon bimbit pelbagai jenama," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor (IPK), di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 11 pagi semalam, empat lelaki bersenjatakan pistol dan penukul besi, dengan memakai topi keledar penutup penuh serta bersarung tangan hitam, memecah masuk ke dalam kedai emas yang terletak di tingkat bawah pusat beli-belah itu.

Mazlan berkata, suspek kemudian memecahkan rak kaca pameran barang kemas dan memasukkan barang kemas dalam beg pakaian, manakala salah seorang suspek yang bersenjatakan pistol dipercayai melepaskan enam das tembakan ke arah pengawal keselamatan.

"Mereka kemudian melarikan diri dengan hasil rompakan yang dianggarkan bernilai RM3 juta menggunakan sebuah kenderaan Toyota Wish.

"Tahanan reman ke atas tujuh suspek akan dimohon daripada Majistret Mahkamah Kajang hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971," katanya.-BHarianOnline
Polis Selangor selesai 10 kes samun babit RM15 juta Polis Selangor selesai 10 kes samun babit RM15 juta Reviewed by Unknown on July 28, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.