Seo Services

Ridzuan Tekad Tebus Kecewa London Di KL2017


KUALA LUMPUR: Pemenang pingat perak acara 100 meter (m) T36 (palsi serebrum) pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi berazam untuk menebus kekecewaan gagal mendapat pingat emas di London dengan menjadikan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang bermula 17 hingga 23 September depan sebagai medan terbaik buatnya bersinar.

Mohamad Ridzuan berkata kekalahan di London tempoh hari tidak akan membuatkan beliau lemah malah akan terus bangkit dan terus berusaha untuk mengharumkan nama negara.

"Saya akan lakukan yang terbaik di Sukan Para ASEAN nanti dan kekalahan baru-baru ini bukanlah aksi terbaik saya. Saya akan buktikan dan cuba untuk menyumbang pingat emas buat negara.

Tidak dinafikan emosi saya sedikit terganggu kerana tidak dapat mempertahankan pingat emas kejohanan dunia yang dimenangi di Doha, Qatar pada 2015 tetapi dengan berkat dan doa semua, saya pasti akan kembali dengan lebih kuat di masa akan datang," kata Mohamad Ridzuan kepada pemberita seperti yang diterjemahkan oleh bapanya Mohamad Puzi Mat Isa.

Sementara itu, walaupun usia Mohamad Ridzuan hampir menjangkau 30 tahun, namun anak kelahiran Perlis itu menjelaskan pada Sukan Para ASEAN nanti, beliau tetap akan menyertai tiga acara iaitu 100m, 200m dan 400m sekali gus memberi petanda awal bahawa kehadirannya kelak bukan sekadar pelengkap acara tetapi ingin membuktikan beliaulah raja pecut di Asia Tenggara.

"Tiga acara yang akan saya sertai di Sukan Para ASEAN nanti bukan hanya sekadar mengambil bahagian tetapi saya mahu melakar sejarah dengan menyumbang tiga pingat emas buat kontinjen negara," katanya pada Majlis Sambutan Aidilfitri dan Meraikan Kejayaan Atlet di Kejohanan Olahraga Para di London, malam tadi.

Untuk rekod, pada kejohanan di London tempoh hari, Malaysia mencipta sejarah apabila meraih dua emas dan satu perak, pingat emas diperoleh Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) dan Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) manakala Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menang perak dalam acara 100m T36. - BERNAMA
Ridzuan Tekad Tebus Kecewa London Di KL2017 Ridzuan Tekad Tebus Kecewa London Di KL2017 Reviewed by Azmin on July 25, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.