SINGAPURA: Syarikat penerbangan tambang rendah Singapura, Scoot, yang berjaya bergabung dengan Tigerair Singapore bulan ini, akan menawarkan penerbangan ke Kuantan, Pahang dan Kuching, Sarawak sebelum berakhirnya suku pertama 2018.
Bahagian penerbangan jarak sederhana dan jauh Singapore Airlines Group itu akan menawarkankekerapan penerbangan sebanyak tujuh kali seminggu bagi laluan Kuching menjelang akhir Oktober ini, manakala tiga kali seminggu untuk laluan Kuantan menjelang suku pertama 2018.
Scoot juga mengekalkan empat laluan di Malaysia sebelum ini yang dikendalikan Tigerair menggunakan pesawat Airbus A320, iaitu Ipoh, Kuala Lumpur, Langkawi dan Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif Scoot, Lee Lik Hsin berkata, persaingan merupakan sebahagian daripada perniagaan.
“Persaingan adalah sebahagian daripada perniagaan, dengan mana-mana syarikat penerbangan...sama ada di Malaysia atau laluan lain, kami perlu hadapinya dan bersaing,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman laluan baharu itu sempena sambutan jenama tunggalnya di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai persaingan yang mungkin dihadapi Scoot dengan syarikat penerbangan tambang rendah tempatan seperti AirAsia di Malaysia.
Mengenai pilihan laluan Kuantan dan Kuching, Lee berkata: “mengapa tidak? Kami sangat teruja dengan peluasan kami di Malaysia. Kami menyaksikan banyak peluang di Malaysia”.
Ketika ditanya sama ada Scoot akan meluaskan rangkaian laluannya di Malaysia, beliau berkata, ia bergantung kepada prestasi syarikat bagi laluan baharu tersebut.
Honolulu, Hawaii; Harbin, China; dan Palembang, Indonesia merupakan tiga laluan lain yang diperkenalkan Scoot hari ini.
Kesemua lima laluan baharu itu, serta rangkaian Tigerair, akan menjadikan keseluruhan destinasi Scoot berjumlah 65 merentasi 18 negara.
Syarikat penerbangan itu merekodkan pencapaian membawa lebih 50 juta penumpang sejak ia memulakan operasi pada 2012 dan kini mengendalikan kumpulan 14 pesawat Boeing 787 Dreamliner dan 23 pesawat Airbus A320.
Ia juga telah menempah enam lagi Dreamliner dan 32 pesawat A320neo.
Sembilan bulan selepas Scoot dan Tigerair mengumumkan hasrat untuk menjadi jenama tunggal dan beroperasi di bawah lesen menggunakan jenama Scoot yang diperkukuhkan, industri penerbangan hari ini ‘mengucapkan selamat tinggal’ kepada Tigerair dengan penerbangan terakhir dari Singapura ke Tiruchirappalli, India pada 11.05 malam 24 Julai 2017.-BERNAMA
Scoot Singapura Luaskan Penerbangan Ke Kuantan & Kuching
Reviewed by Unknown
on
July 25, 2017
Rating:
No comments: