SHANGHAI: Aktiviti beli-belah bersama-sama dengan isteri, tunang atau teman wanita selama berjam-jam mungkin salah satu kerja yang paling membosankan bagi golongan lelaki.
Justeru sebuah gedung perniagaan terkemuka di sini, Global Harbor telah menyelesaikan masalah ini dengan melancarkan kemudahan bilik ‘penyimpanan suami’ ketika pasangan mereka pula leka membeli-belah.
Kontena layan sendiri yang berkaca ala akuarium di pusat beli-belah tersebut malahan dilengkapi dengan skrin televisyen, kerusi kulit urut dan konsol permainan komputer serta dikenakan bayaran untuk tempoh tertentu.
“Lelaki lazimnya bosan apabila beli-belah dengan pasangan mereka, justeru kami menyediakan satu tempat untuk berehat sambil mereka boleh bermain permainan dan caj telefon bimbit mereka di sini,” kata Zhou Jun.
Beliau yang mengendali dan menyelenggara kontena tersebut berkata, pengguna cuma perlu imbas kod QR untuk menempah kontena, dengan kos 20 yuan (RM13) bagi tempoh setengah jam atau 30 yuan (RM19) jika sejam.
Sejak dilancarkan sebulan lalu, kemudahan ‘penyimpanan suami’ itu telah menarik minat berbelas-belas orang lelaki setiap hari sekali gus menyaksikan senario wanita berkahwin keseorangan ketika sibuk membeli-belah.
“Ini adalah idea yang baik. Suami saya memang selalu tidak gembira apabila terpaksa membeli-belah bersama dengan saya,” kata seorang pengunjung wanita yang hanya mendedahkan nama keluarganya sebagai Wang.
Seorang pengguna lelaki yang nama keluarganya pula Yang memberitahu agensi berira Xinhua bahawa kemudahan itu mempunyai beratus-ratus permainan video klasik, yang turut mengingatkan kembali zaman kecilnya.
Bagaimanapun tidak semua orang meluahkan perasaan gembira dengan kontena unik ini. Sebilangan isteri merungut bahawa kini tidak ada keseronokan apabila terpaksa membeli-belah secara bersendirian.
“Siapa yang akan mahu membawa beg saya, berbual dengan saya dan memberi nasihat jika suami saya duduk dalam kontena sendiri berseronok,” kata seorang pembeli-belah wanita, dengan nama keluarganya iaitu He.
Zhou dalam pada itu berkata, menjelang masa akan depan kontena tersebut akan dilengkapi dengan tabir, alat penyaman udara dan fon kepala untuk memastikan pengalaman yang lebih baik. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Shanghai Lancar Bilik Simpan Suami Ketika Bini Beli-Belah
Reviewed by Unknown
on
July 25, 2017
Rating:
No comments: