Seo Services

SPRM Serbu Tiga Premis Di Kuching, Petra Jaya


Kuching : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu tiga premis di bandar raya ini berhubung kontroversi pembelian sebuah hotel empat bintang yang menyebabkan kerugian ratusan juta ringgit oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Serbuan dilakukan serentak jam 10 pagi ini oleh pasukan khas dari Ibu pejabat SPRM Putrajaya di ketiga-tiga premis berkenaan, masing-masing di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce; Jalan Petanak dan Jalan Tun Abang Haji Openg.

Difahamkan, ketiga-tiga premis berkenaan, masing-masing syarikat pemaju, ejen hartanah dan penilai harta yang dipercayai terbabit dalam urusan jual beli hotel berkenaan yang terletak di tengah-tengah bandar raya ini.

Sumber memberitahu BH, prosedur itu bagi mendapatkan maklumat, termasuk urusan jual beli hotel berkenaan yang didakwa melebihi harga pasaran.

"Ia susulan maklumat diperoleh dalam siasatan awal membabitkan prosedur pembelian hartanah oleh FIC yang juga cabang pelaburan FELDA, bermula dengan hotel dan pangsapuri servis di Kensington, London.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pembelian hartanah berkenaan yang didakwa tidak mengikut prosedur sepatutnya menyebabkan FIC kerugian ratusan juta ringgit," katanya.

FIC ditubuhkan FELDA pada 2013 sebagai usaha mempelbagaikan portfolio perniagaan agensi berkenaan, khususnya dalam pelaburan hartanah, perhotelan dan hospitaliti.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan serbuan berkenaan dan menyatakan ia sebahagian daripada prosedur siasatan.

Beliau turut memaklumkan satu pasukan khas turut dibentuk oleh suruhanjaya berkenaan bagi mengendalikan kes berprofil tinggi itu. - BH
SPRM Serbu Tiga Premis Di Kuching, Petra Jaya SPRM Serbu Tiga Premis Di Kuching, Petra Jaya Reviewed by Unknown on July 28, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.