BELGRADE: Kegembiraan seorang wanita bergelar ibu selepas berusaha selama 20 tahun bertukar pilu selepas dia ditinggalkan suaminya dengan alasan tangisan bayi itu mengganggu tidurnya.
Impian Atifa Ljajic, 60, untuk menjadi ibu menjadi kenyataan selepas dia selamat melahirkan seorang bayi perempuan baru-baru ini.
Kelahiran itu menjadikan Atifa ibu kedua paling tua melahirkan anak di Serbia.
Selepas berusaha selama 20 tahun, Atifa berjaya hamil melalui persenyawaan in vitro.
Bagaimanapun, kegembiraan Atifa tidak bertahan lama, apabila suaminya, Serif Nokic, 68, mengambil keputusan berpisah dengan isterinya beberapa hari selepas bergelar bapa.
Nokic memberitahu, dia mengambil keputusan berpisah dengan isterinya kerana tangisan bayi itu mengganggu tidurnya.
Katanya, dia sedar betapa sukarnya untuk menjadi bapa sejurus mendengar anaknya menangis.
“Saya sudah tua dan sakit pula. Saya menghidap kencing manis dan lemah jantung.
“Saya tidak boleh tidur apabila bayi itu menangis. Kini, Atifa dapat apa yang dia mahu dan dia juga sangat gembira,” katanya.
Lebih teruk lagi, Nokic enggan mendaftarkan bayi itu sebagai anaknya menyebabkan Atifa terpaksa membesarkannya seorang diri.
Walaupun sedih akibat ditinggalkan suami, namun Atifa tetap gembira kerana impiannya menjadi ibu akhirnya tercapai.
“Satu-satu impian dalam hidup saya adalah mempunyai anak dan kini impian itu menjadi kenyataan. Saya tidak takut kerana tuhan memberi kekuatan kepada saya.
“Saya tahu kehidupan sebagai ibu tunggal adalah sukar tetapi saya akan berjuang membesarkan anak saya ini,” tegasnya.-AFP
Suami Tinggalkan Isteri Kerana Tangisan Bayi
Reviewed by Unknown
on
July 25, 2017
Rating:
No comments: