Rasa sakit hati dan cinta tidak terbalas mendorong seorang lelaki membunuh wanita yang dicintainya dengan bertindak membuang mangsa dari tingkat 19 di bangunan kediaman mereka.
Memetik Shanghaiist, tertuduh, 27, memberitahu mahkamah di Hangzhou, China pada Rabu bahawa dia sudah tertarik dan menaruh perasaan terhadap mangsa sejak lapan tahun lalu, di mana mereka merupakan rakan sekelas.
Tertuduh dan mangsa sangat rapat dan mereka sering berhubung antara satu sama lain selepas lelaki itu meninggalkan negara asal untuk menyambung pengajian di Amerika Syarikat.
Sejak dari itu, mereka semakin rapat dan gadis itu difahamkan kerap berkongsi perkembangan dirinya kepada tertuduh, lapor portal itu lagi.
Perasaan cinta yang semakin menebal terhadap gadis itu mendorong lelaki terbabit berusaha untuk memenangi hati mangsa termasuk membeli pelbagai barangan mewah seperti beg tangan berjenama dan barang kemas.
Namun, semua itu masih tidak mampu membuatkan gadis itu jatuh cinta kepada tertuduh, sebaliknya mangsa meminta ruang dan masa untuk mengenali hati budi masing-masing, mahkamah diberitahu.
Enggan berputus asa, pada Februari 2017, tertuduh membuat keputusan untuk meninggalkan Amerika Syarikat dan pulang ke Hangzhou dipercayai mahu mendekati gadis itu.
Selepas pulang, kedua-dua mereka tinggal serumah bersama seorang lagi wanita lain.
Bagaimanapun, keindahan yang diharapkan lelaki itu tidak seperti yang dijangkakan apabila hubungan mereka mula tegang selepas tertuduh menemui gambar mangsa bersama seorang lelaki yang diletakkan di meja biliknya.
Tertuduh memberitahu mahkamah bahawa sepanjang lapan tahun mereka berkenalan, gadis itu tidak pernah bersetuju untuk merakam gambar dengannya.
Tertuduh mula membuat carian kata kunci “bunuh diri”, “melompat dari bangunan” dan “hukuman terhadap pembunuhan yang disengajakan”.
Kemuncak kemarahan tertuduh adalah pada malam 20 Mac apabila dia terdengar perbualan gadis itu dengan seorang lelaki, bercakap mengenai rasa kurang senang mangsa terhadap sikap tertuduh yang menagih cintanya.
Tertuduh memberitahu dia hampir tidak boleh tidur pada malam tersebut selepas mendengar mangsa berkata demikian.
Pada keesokan paginya, tertuduh meluru ke bilik gadis itu, sebelum mengangkat dan mencampak mangsa dari balkoni kediaman mereka di tingkat 19.
Difahamkan, perbicaran mengenai kes itu masih berlangsung dan mahkamah belum memutuskan hukuman terhadap tertuduh.-Malaysian Digest
8 Tahun Tagih Cinta, Lelaki Campak Kekasih Dari Tingkat 19
Reviewed by Unknown
on
August 30, 2017
Rating:
No comments: