Seo Services

Ditipu Ulat Tiket, Sekeluarga Dari Sarawak 'Termenung' Depan Stadium Shah Alam


Belum reda isu penjualan tiket melebihi kuota sehingga menyebabkan kewujudan ulat tiket bagi perlawanan akhir bola sepak KL2017 antara Malaysia dan Thailand, muncul pula kisah sekeluarga dari Sarawak ditipu ulat tiket yang menjual tiket palsu.

Menurut sebuah posting pengguna Facebook bernama Ular Pejal Afifi yang kemudiannya menjadi viral, keluarga berkenaan membeli 8 keping tiket daripada ulat tiket dengan harga RM50 sekeping.

Keterujaan mereka untuk melihat pasukan negara beraksi walaubagaimanapun terbantut di pintu masuk stadium setelah anggota keselamatan mendapati tiket mereka adalah palsu.

Kata Pejal, kod bar pada tiket berkenaan tidak boleh diimbas dan keluarga berkenaan tidak dibenarkan masuk ke dalam stadium.

"Dia beli dari ulat tiket sekitar (pasaraya) Giant Shah Alam, satu RM50. Beli sampai 8 keping. Burn (rugi) RM400!. Sudahlah datang dari Kuching, Sarawak. Terduduk beliau. Tak terkata apa dah.

"Saya bandingkan tiket saya dengan beliau, kalau tengok dengan mata kasar memang tak nampak beza, cuma yang PALSU itu colornya (warnanya) kusam sedikit dan tiada font (tulisan) hitam dekat area kilat sebelah kanan tiket," ujarnya menceritakan kisah keluarga berkenaan.

Isu ulat tiket perlawanan akhir bola sepak KL2017 menjadi topik hangat dalam kalangan peminat bola sepak kebangsaan, yang rata-ratanya menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap ulat tiket yang mengambil keuntungan atas angin berlipat kali ganda.

Tiket dijual dengan harga RM21.60 namun disebabkan ulat tiket membeli dengan kuantiti banyak dan menjualnya semula dengan harga antara RM50 dan RM180 setiap satu.

Menteri Belia dan Sukan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc), Khairy Jamaludin berkata, keputusan tidak melakukan penjualan diatas talian ekoran embekal transaksi pembayaran atas talian tidak boleh menjamin proses pembelian tiket yang stabil.

Jumlah trafik tinggi memungkinkan ada dalam kalangan pembeli tidak memperoleh tiket walaupun pembayaran sudah dibuat, kata Khairy.

"Dengan maklumat yang diperoleh saya perlu membuat keputusan. Tanpa pembekal pembayaran atas talian stabil, keputusan dibuat untuk menjual tiket di Stadium Shah Alam," tulis Khairy di twitter.

Nyata, tindakan tidak bertanggungjawab ulat tiket memanipulasi harga dan mengaut keuntungan tidak berkat hasil semangat patriotik rakyat perlu dikenakan tindakan tegas.

Malaysia selaku pengajur juga sewajarnya menjadikan isu ini sebagai pengajaran dan melakukan persiapan secukupnya termasuk menggunakan pembekal pembayaran atas talian lebih berkualiti agar kewujudan ulat tiket dapat dihapuskan sama sekali.-Malaysian Digest

Ditipu Ulat Tiket, Sekeluarga Dari Sarawak 'Termenung' Depan Stadium Shah Alam Ditipu Ulat Tiket, Sekeluarga Dari Sarawak 'Termenung' Depan Stadium Shah Alam Reviewed by Unknown on August 30, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.