Seo Services

Pentadbiran Najib Utamakan Laksana Janji Untuk Rakyat Dalam Mengisi Kemerdekaan


KUALA LUMPUR: Tiada hadiah yang lebih istimewa kepada rakyat, sebagai pengisian sebenar sebuah kemerdekaan, melainkan menjadi kerajaan yang mampu menyampai serta melaksana janji-janji yang dibuat untuk kepentingan rakyat dari semasa ke semasa, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata pentadbirannya tidak mahu membuang masa untuk terjebak dan melayan tohmahan, sebaliknya komited dan bertekad menumpu sepenuh kudrat dan usaha merencana agenda kepesatan ekonomi demi maslahah rakyat terbanyak.

Kisah kemerdekaan Malaysia terus diisi dengan pelbagai kejayaan dan pencapaian yang disegani oleh kawan dan lawan," katanya dalam Perutusan Hari Kebangsaan 2017.

Malaysia, katanya, kini dirujuk ramai sebagai negara yang sedang maju membangun, berteraskan pendirian yang amat jelas dalam hal-hal seperti menolak ideologi dan fahaman melampau, khususnya dalam membanteras ancaman Daesh.

"(Raja Arab Saudi) Raja Salman Abdulaziz Al-Saud telah berkenan untuk memilih Malaysia sebagai Pusat Keamanan Antarabangsa," kata Najib. Perdana menteri menyebut beberapa kejayaan terkini negara seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua tahun ini mencatat pertumbuhan memberangsangkan pada kadar 5.8 peratus, antara yang tertinggi di dunia.

Majalah Forbes pula, katanya, meletakkan Malaysia pada kedudukan paling atas antara semua negara Asia untuk pelaburan asing manakala agensi penarafan antarabangsa Fitch Ratings juga mengekalkan penarafan kredit Malaysia dengan unjuran stabil pada skor A-.

Menyentuh kedudukan rizab antarabangsa Bank Negara, Najib berkata ia kini bertambah kepada RM431 bilion, jumlah rizab yang semakin kukuh.

"Lalunya, bagaimana mungkin sesetengah pihak sesuka hati menuduh bahawa, Malaysia sekarang ini sebagai sebuah negara gagal, atau a failed state, sedangkan pada era 90-an, di mana kedudukan rizab yang jauh lebih rendah sebenarnya waktu itu, tidak pula dikatakan sebagai negara yang gagal," katanya yang jelas merujuk kepada tohmahan pembangkang.

Najib berkata pentadbirannya percaya dalam ikhtiar mengkhidmati rakyat, ia harus bersifat melangkau politik dan berorientasikan kepentingan rakyat Najib berkata pentadbirannya sejak lapan tahun lalu tidak pernah berlengah-lengah sejak awalnya, bahkan amat komited dengan pelbagai dasar serta inisiatif demi memakmur negara dan mensejahterakan rakyat.

Berpaksikan falsafah 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, perdana menteri berkata kerajaannya akan terus mengutamakan projek-projek Infra-Rakyat seperti MRT (Mass Rapid Transit) yang jelas bertaraf dunia dan memberi impak kepada 500,000 pengguna setiap hari.

Menurut rekod, projek MRT itu dapat membantu mengurangkan kos sara hidup dengan menyediakan sistem pengangkutan yang selesa dan lebih murah di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas, mengurangkan masalah tekanan dalam kalangan orang ramai, membantu alam sekitar di segi pengurangan pelepasan karbon dan mempergiat lagi kegiatan ekonomi di koridor berkenaan.

Begitu juga projek-projek East Coast Rail Link, Lebuhraya Pan-Borneo serta High Speed Rail yang sedang rancak dan bakal dibina, katanya.

Di samping itu, kata Najib, inisiatif dan bantuan kepada golongan raykat yang memerlukan akan terus diperuntuk serta dipergiatkan demi kebaikan mereka.

Antaranya BR1M, Kedai Rakyat 1Malaysia, Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, PRIMA, Klinik 1Malaysia, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia dan bantuan-bantuan kepada para petani, pekebun kecil, nelayan serta para peneroka Felda. - BERNAMA
Pentadbiran Najib Utamakan Laksana Janji Untuk Rakyat Dalam Mengisi Kemerdekaan Pentadbiran Najib Utamakan Laksana Janji Untuk Rakyat Dalam Mengisi Kemerdekaan Reviewed by Azmin on August 30, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.