JIKA anda pengikut setia perkembangan penyanyi Aiman Tino, pasti anda mengetahui yang kakaknya, Fara Hezel turut ‘terjun’ dalam bidang seni.
Setiaku Pasti merupakan single pertama yang dipertaruhkan dalam bidang nyanyian selepas beberapa kali muncul dalam muzik video nyanyian adiknya, Aiman Tino.
Walaupun namanya baharu dalam industri hiburan tanah air, nama Fara sering disebut-sebut kerana mempunyai suara mendayu-dayu yang sinonim dengan lagu-lagu ‘tangkap leleh’.
Lihat sahaja bilangan tontonan muzik video lagu Setiaku Pasti yang di muat naik ke laman YouTube sejak September lalu. Ia telah mencapai 4.7 juta tontonan walaupun belum dua bulan lagu tersebut berada di platform itu.
Menurut Fara atau nama sebenarnya Aziera Yusri, mungkin akan ada sesetengah pihak yang akan membandingkan dirinya dengan Aiman, namun, dia tidak berasa tertekan malah menganggap Aiman sebagai guru yang banyak membantu dalam nyanyian.
“Fara tak rasa benda tu sebab mungkin Fara baru lagi dan Fara nak dapatkan ilmu dan pengalaman lagi. Aiman ‘tok guru, cikgu’ (ketawa). Walaupun dia adik, kami tidak bersaing,” katanya dipetik BeritaMediacorp.
Kenyataannya itu sekaligus menolak dakwaan yang kononnya Fara menumpang populariti Aiman yang terlebih dahulu telah mencipta nama dalam industri.
“Fara kena ambil positif macam mana nak tunjukkan pada orang ramai yang Fara tak tumpang populariti Aiman tapi Fara kena tunjukkan kekuatan yang Fara ada,” ujarnya.
Dalam pada itu, gadis berusia 21 tahun ini menyatakan lagu Setiaku Pasti itu sama seperti lagu-lagu Aiman sebelum ini yang merupakan hasil karya ibu bapa mereka.
Untuk lagu ini, bapanya, Yusri Ishak bertindak sebagai komposer manakala lirik ditulis oleh ibunya, Hazelina Matjali.
Khabarnya, lagu Setiaku Pasti sepatutnya diberikan kepada Aiman, namun bapanya meminta Fara yang merakamkan lagu tersebut.
“Ayah kata mengapa tidak kakak (Fara) menyanyi lagu itu tapi buat versi perempuan. Mak dan ayah kata berat nak bagi pada Aiman jadi mereka bagi pada Fara,” kongsi Fara Hezel.
Tambah Fara lagi, dia tidak meniru gaya adiknya, bahkan belajar menjiwai lagu itu.
Baguslah begitu. Sebagai seorang penyanyi, Fara perlu mencari identiti tersendiri dan menunjukkan keunikannya kepada peminat. – MYNEWSHUB.CC
Fara Hezel Tak Tumpang Populariti Aiman Tino
Reviewed by Unknown
on
October 23, 2017
Rating:
No comments: