TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, yang menepati ramalan apabila meraih kemenangan besar dalam pilihan raya umum hari ini, berikrar menangani dengan tegas ancaman Korea Utara serta memulihkan ekonomi ketiga terbesar dunia itu.
Parti gabungan konservatif diketuai Abe, berada pada landasan untuk memenangi 311 daripada 465 kerusi Parlimen, menurut ramalan penyiar swasta TBS.
Ia sekali gus menjadikan Abe, menerusi Parti Liberal Demokratik (LDP), pemimpin paling lama berkhidmat di Jepun.
Kemenangan selesa dalam pilihan raya yang diadakan setahun awal itu, membolehkan beliau memperkukuh dasar menentang ketaksuban Korea Utara terhadap senjata nuklear.
"Seperti yang dijanjikan dalam pilihan raya, tugas segera saya ialah menguruskan dengan tegas isu berkaitan Korea Utara.
"Untuk tujuan itu, diplomasi tegas diperlukan," kata Abe, 63.
Sementara itu seorang saintis politik, Mikitaka Masuyama, dari Institut Pengajian Siswazah Kebangsaan Kajian Dasar, menyifatkan kemenangan besar LDP berpunca kelemahan pembangkang yang gagal membentuk barisan bersatu. - AFP
Menang Besar Pilihan Raya, Abe Ikrar Bertegas Terhadap Pyongyang
Reviewed by Azmin
on
October 23, 2017
Rating:
No comments: