KUALA LUMPUR: Pasaran pekerjaan di Malaysia, yang menjadi antara penanda aras penting kedudukan ekonomi negara berada dalam situasi yang memberangsangkan, kata ahli ekonomi.
Ia dibuktikan daripada jumlah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 2017 yang merekodkan peningkatan dari segi pertumbuhan tahunan buat kali pertama sejak 2011.
Berdasarkan perangkaan laman sesawang Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah caruman KWSP dari tempoh Januari hingga Oktober 2017 berkembang enam peratus berbanding tempoh sama sebelumnya.
Sejak 2011, jumlah caruman KWSP menunjukkan aliran penurunan dari segi pertumbuhan tahunan berikutan beberapa faktor termasuklah kelembapan ekonomi global dan kejatuhan harga minyak dunia, sehingga dilihat menjejaskan pertumbuhan pekerjaan baharu selain pendapatan pekerja sendiri.
Seorang ahli ekonomi dari sebuah bank pelaburan tempatan menjangkakan trend peningkatan pertumbuhan caruman KWSP akan diteruskan tahun ini.
Katanya, peningkatan pertumbuhan caruman pada 2017 jelas menunjukkan keadaan ekonomi dan pasaran buruh Malaysia sudah lebih baik berbanding 2016.
"Malah jika tiada krisis ekonomi luar jangkaan tahun ini, saya percaya keadaan ekonomi Malaysia akan terus kukuh pada tahun 2018 sekali gus meneruskan trend kenaikan caruman pada tahun ini," katanya kepada BH, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, selain faktor pengambilan pekerja dan perkembangan ekonomi, kejatuhan caruman KWSP sebelum ini adalah disebabkan inisiatif kerajaan untuk membenarkan pencarum mengurangkan caruman daripada 11 peratus kepada lapan peratus.
"Secara umum, dengan pertambahan penduduk dan perkembangan ekonomi, caruman KWSP akan sentiasa meningkat setiap tahun, melainkan jika berlakunya krisis ekonomi seperti pada 2009.
"Sejak 2000, ekonomi dunia terutama Asia sudah mula sangat bergantung kepada China dan aktiviti perdagangan dunia. Memandangkan Malaysia sebuah ekonomi yang kecil dari segi saiznya, Malaysia sentiasa mudah terkesan dengan perubahan ekonomi dunia.
"Dari 2013-2016, pelbagai faktor luaran memberikan impak negatif kepada Malaysia, bermula keputusan rizab negara Amerika Syarikat (AS) untuk menghentikan pelonggaran kuantitatif yang memberi kesan negatif kepada pasaran kewangan Malaysia sehingga isu kapasiti berlebihan di China dan kejatuhan harga minyak dunia.
"Selain itu, pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2015 sedikit sebanyak memberi kesan kepada keadaan ekonomi domestik.
"Faktor sedemikian menjadi penyumbang kepada penurunan pertumbuhan caruman KWSP setiap tahun bermula dari 2012 hingga 2016," katanya. - BHOnline
Pasaran Kerja Domestik Kekal Rancak
Reviewed by Azmin
on
January 29, 2018
Rating:
Reviewed by Azmin
on
January 29, 2018
Rating:

No comments: