Seo Services

Bersedia Jadi 'Ibu Segera'


Bukan tugas mudah buat pelakon Nonny Nadirah apabila bakal bergelar ibu segera selepas berkahwin dengan lelaki pilihannya, duda anak satu, Mustain Adnan, 36, pada 18 Mac ini.

Bagi yang belum tahu, bakal anak tiri Nonny, Mikhael Audi Putra kini berusia 12 tahun antara individu yang paling teruja untuk menyaksikan bapanya dan pelakon itu disatukan sebagai suami isteri.

Nonny atau nama sebenarnya Nonny Nadirah Zainuddin, 29, mengakui memang rapat dengan Mikhael sejak kanak-kanak itu berusia tiga tahun.

“Saya dan bakal suami sudah berkawan lebih sembilan tahun. Jadi, saya memang sudah kenal dan rapat dengan Mikhael sejak kecil. Sepanjang kami berkawan, dia kerap bertanya bila kami akan berkahwin?

“Alhamdulillah, apabila kami mengambil keputusan berkahwin, dia sangat gembira. Pada masa sama, saya bersyukur Mikhael sudi menerima saya sebagai ibu barunya. Insya-Allah saya cuba jalankan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.

“Segelintir orang mungkin sukar menerima keadaan ini, tetapi saya beranggapan menjadi ibu segera satu tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan sebaik-baiknya. Bagi saya, ini juga satu pengalaman baru dan cuba menyesuaikan diri,” katanya.

Berkongsi mengenai majlis pernikahan yang bakal berlangsung, Nonny bakal disatukan dengan jejaka pilihan di kampung halamannya di Kota Kinabalu, Sabah.

Malah, Nonny juga bertuah apabila majlis itu mendapat tajaan beberapa pihak selain turut mengeluarkan perbelanjaan sendiri.

“Alhamdulillah, persiapan majlis hampir siap sepenuhnya. Sejujurnya, saya sangat gementar. Cuma saya berharap segala yang dirancang berjalan lancar dan dipermudahkan Allah.

“Walaupun majlis nikah dan sanding sebelah pihak perempuan diadakan di Kota Kinabalu, saya bersyukur ada pihak sudi menaja iaitu Suri Malai Ali. Saya anggap ini rezeki dan tidak salah jika terima,” katanya.

Nonny yang kini muncul dalam drama Melankolia di TV3 berkata, dia memilih tema alam fantasi untuk majlis persandingan yang berlangsung pada sebelah malam iaitu hari sama dengan majlis nikah.

Mengenai bulan madu pula, Nonny dan bakal suami belum ada perancangan kerana selepas selesai majlis, mereka sibuk dengan kerjaya masing-masing.

“Selepas ini bakal suami terbabit dalam program Mentor Otai. Jadi, dia sibuk di belakang tabir. Sementara saya pula, bakal memulakan penggambaran drama terbaru. Memang tidak ada masa sesuai untuk berbulan madu.

“Peluang yang datang sekarang saya tidak boleh tolak kerana ini adalah rezeki berkahwin. Insya-Allah jika ada kelapangan, baru kami boleh merancang,” katanya.

Selain berlakon, Nonny yang kini bernaung di bawah syarikat LMA Talent House bakal melancarkan single baru, Tinta Cahaya yang turut menjadi lagu tema drama Melankolia.

Dugaan berkahwin

Dalam pada Nonny sibuk membuat persiapan kahwin, siapa sangka dia berdepan ujian lain apabila terkena penyakit misteri sehingga tidak boleh bangun.

Nonny berkata, dia tidak tahu apa salah dirinya terhadap pihak terbabit kerana selama ini dia tidak pernah mengganggu hidup orang lain.

“Saya sudah banyak kali terkena. Malah ramai yang tegur kenapa semakin kurus. Sebenarnya saya tak nak percaya perkara sebegini, tetapi ia memang wujud. Setiap kali saya nak dapat ‘job’ baru dan nak memulakan penggambaran drama, saya mesti sakit.

“Pernah ketika sedang bekerja, saya rebah. Berat badan saya daripada 57 kilogram kini turun ke 45 kilogram. Alhamdulillah, sekarang saya masih dalam proses rawatan. Dengan izin Allah, saya beransur sembuh,” katanya.

Tidak mahu menuduh mana-mana pihak, Nonny sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Allah.

“Saya anggap ini dugaan nak berkahwin. Orang kata, kalau kita nak buat perkara baik pasti ada saja halangan. Cuma saya diuji dengan penyakit yang doktor pun tidak tahu apa puncanya.

“Jadi, apa yang boleh dilakukan sekarang adalah teruskan berdoa semoga tidak ada perkara yang lebih buruk berlaku. Cukup dengan apa yang sudah saya lalui sekarang. Saya sudah merasai penderitaan. Namun, saya perlu kuat dan lawan,” katanya.-myMetro
Bersedia Jadi 'Ibu Segera' Bersedia Jadi 'Ibu Segera' Reviewed by Unknown on March 12, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.