Dua anggota polis cedera dilibas dengan parang oleh lelaki disyaki kurang siuman selepas mengamuk dengan membakar almari di dalam bilik tidur di rumahnya di Kampung Lubak, Beaufort, awal pagi semalam.
Dalam kejadian 1.15 pagi itu, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal menerima enam jahitan di lengan kanan manakala seorang lagi berpangkat Koperal cedera jari kelingking.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan adik lelakinya yang disyaki kurang siuman bertindak membakar almari di rumah sambil mengambil parang.
"Susulan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan tangkapan.
"Sebaik tiba, lelaki terbabit enggan menyerah diri dan menjerit mengarahkan polis supaya beredar sebelum keadaan menjadi tidak terkawal," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, seorang anggota polis kemudian menyembur pemedih mata ke arah suspek manakala tiga lagi anggota menghampiri suspek yang sedang memegang sebilah parang.
"Ketika pergelutan, suspek melibas parang lalu terkena dua anggota polis di bahagian lengan kanan dan jari kelingking.
"Lelaki berusia 31 tahun itu berjaya diberkas dan dibawa balik ke IPD Beaufort untuk siasatan lanjut," katanya.
Azmir berkata, siasatan lanjut mendapati suspek kerap mengamuk dan membahayakan ahli keluarga yang lain.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata terhadap anggota polis.-myMetro
Mengamuk Bakar Almari, Libas Parang
Reviewed by Unknown
on
March 27, 2018
Rating:
No comments: