Seo Services

RM10.5 Juta Dibelanja Tangani Rabies Di Sarawak


MIRI: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sebanyak RM10.5 juta telah dibelanja untuk menangani wabak rabies di negeri ini sejak arahan vaksinasi dikeluarkan Februari lalu.

Menurutnya, peruntukan tersebut merangkumi kos penyediaan vaksin untuk anjing, vaksin untuk manusia dan kos pengoperasiannya di seluruh negeri.

Memetik laporan Utusan Borneo, beliau turut memberi jaminan bekalan vaksin bagi menentang wabak rabies di negeri ini mencukupi, sama ada vaksin untuk anjing dan haiwan peliharaan yang lain dan juga vaksin untuk manusia.

“Ini kerana pada Februari lalu, saya telah mengarahkan semua anjing di seluruh negeri ini diberikan vaksin dalam langkah memastikan rabies tidak merebak lebih jauh daripada yang telah berlaku ketika ini.

“Terutama selepas kes terkini yang kita kenal pasti sebagai kes terbaharu positif rabies di Julau, iaitu kawasan tengah Sarawak.

“Setakat ini, tiada tanda-tanda menunjukkan wabak ini merebak ke kawasan sebelah atas Julau dan kita harap ia kekal begitu,” katanya lagi.

Menurut Uggah, sehingga kini, 56,630 anjing termasuk haiwan peliharaan lain disuntik vaksin ini di seluruh negeri manakala bagi bahagian Miri (yang merangkumi daerah Sibuti, Marudi dan Baram) 2,038 ekor.

Manakala kes gigitan anjing pula mencatatkan lebih 10,000 kes sejak April tahun lalu dan 425 sampel telah diambil dengan 95 sampel didapati positif rabies termasuk dua kes terbaharu di Julau pada bulan lepas.

Sementara di Miri sahaja, 700 kes gigitan turut direkodkan.

Sementara itu, Uggah meminta mereka yang terkena gigitan anjing supaya merujuk kes mereka ke hospital kerajaan bagi membolehkannya direkod dan diambil tindakan lanjut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan, seterusnya menentukan sama ada mangsa (gigitan anjing) perlu diberi suntikan vaksin atau sebaliknya.

“Vaksin ini berkesan selama setahun dan selepas itu kita akan menentukan strategi seterusnya.

“Oleh itu, kita perlukan kerjasama sepenuhnya daripada pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri kerana mereka mempunyai undang-undang kecil tersendiri mengenai vaksinasi anjing ini,” tegasnya lanjut. – Sarawakiana
RM10.5 Juta Dibelanja Tangani Rabies Di Sarawak RM10.5 Juta Dibelanja Tangani Rabies Di Sarawak Reviewed by uMieySurianie on March 12, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.