JITRA: Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak akan mempertaruhkan masa depan negara dengan memberikan janji-janji manis tanpa perancangan untuk membangunkan negara.
Menurutnya, sebagai perdana menteri, beliau memikul harapan kira-kira 30 juta rakyat di negara ini yang mengharapkan kerajaan menjulang masa depan negara ke satu tahap yang lebih tinggi di masa hadapan.
“Saya tidak akan membawa tuan-tuan sekalian kepada satu keadaan di mana saya sanggup pertaruhkan masa depan negara semata-mata nak tabur ‘gula-gula’ atau pun dedak kepada rakyat kerana saya mempunyai tanggungjawab besar,” katanya.
Presiden Umno itu berucap pada Majlis Jamuan Rakyat dan perjumpaan bersama Umno Kubang Pasu di Dewan Wawasan.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, ketua Umno bahagian Kubang Pasu, Datuk Seri Johari Baharum dan bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff.
Sebagai pemimpin, Najib berkata, beliau membuat pelbagai perancangan jangka panjang untuk pembangunan negara, antaranya Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan pada masa yang sama memastikan keperluan asas rakyat diberikan keutamaan.
“Kita juga nak tentukan keperluan seharian kita cukup, kalau seharian tak cukup tak sampailah masa depan, jadi kita kena pastikan dapur berasap, hidangan makanan cukup, kediaman rumah sempurna, anak dapat sekolah, kemudahan kesihatan, peluang pekerjaan, pendapatan meningkat dan keselamatan terjamin,” katanya.
Beliau juga membidas bekas perdana menteri selama 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak konsisten dalam perjuangan dan tidak istiqamah dalam parti apabila sanggup menghancurkan parti keramat Umno demi kepentingan peribadinya.
Malah Najib berkata, Dr Mahathir juga seperti “cakap tidak serupa bikin” apabila dia sendiri mengkritik habis-habisan pemimpin di bawahnya yang menggantikannya, sedangkan beliau sendiri pernah meminta anggota parti agar sentiasa menyokong pemimpin baharu.
“Saya cakap terus terang, saya jadi perdana menteri dan ada kekuatan kerana Umno angkat saya dan Barisan Nasional (BN) sokong saya, kalau Umno dan BN tidak angkat dan pertahankan saya, saya tidak akan kuat,” katanya.
Mengenai kerusi Parlimen Kubang Pasu, beliau yakin BN akan dapat mengekalkan kawasan kubu kuat parti itu serta kerusi negeri Jitra dan Bukit Kayu Hitam dengan majoriti yang lebih besar pada pilihan raya umum nanti.
Najib, yang juga Pengerusi BN, turut memberikan jaminan bahawa Zon Bebas Cukai di Bukit Kayu Hitam akan menjadi agenda pembangunan dalam tempoh 5 tahun akan datang, malah ia sudah pun dimulakan melalui penghapusan tol di kawasan itu bermula Januari lalu.
“Tahun hadapan laluan di sana (pintu sempadan Bukit Kayu Hitam) akan dibuka 24 jam dan kawasan 12,000 ekar (zon bebas cukai) merupakan titik permulaan gagasan pembangunan dari utara sampai ke selatan,” katanya.
Najib kemudian mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk pembangunan pasar Jitra dan RM400,000 bagi baik pulih gelanggang tenis yang disifatkan beliau sebagai salah satu bukti bahawa rakyat akan terus mendapat pelbagai manfaat jika BN kekal memerintah. - Bernama
Tiada dedak, gula-gula atau janji manis dari saya, kata Najib
Reviewed by Admin
on
March 27, 2018
Rating:
No comments: