BANGKOK: Sebuah kafe di Bangkok mungkin tempat yang paling menyeramkan untuk menjamu selera kerana premis itu menerapkan konsep kematian lengkap dengan keranda dan rangka manusia.
Pelanggan juga boleh berbaring di dalam keranda selama beberapa minit untuk mendapatkan diskaun dan menurut pemiliknya, cara itu dapat mengubah pandangan seseorang mengenai kehidupan.
Kafe Kid Mai Death yang bermakna fikiran baru itu berasaskan pegangan agama Buddha yang mahu penganutnya sentiasa mengingati mati untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.
Selain dihiasi dengan keranda berwarna putih dan rangka manusia, kafe itu juga menawarkan menu makanan serta minuman dengan nama yang bertemakan alam kematian.
Pemiliknya, Veeranut Rojanaprapa berkata, tema kafe itu bukan hanya gimik untuk menarik perhatian tetapi memberi peluang kepada pelanggan untuk menilai semula kehidupan mereka.
“Pelanggan terutama sekali generasi muda yang sangat taasub dengan teknologi boleh berbaring di dalam keranda ini selama beberapa minit dan menilai semula pilihan yang dibuat dalam hidup mereka.
“Merasai kematian bukan sahaja menjadikan kita lebih menghargai kehidupan tetapi membuatkan kita bersyukur dengan apa yang kita miliki pada hari ini.
“Ini sebagai peringatan bahawa kehidupan ini sangat singkat, jadi nikmatinya dengan gembira,” katanya.
Seorang pelanggan berkata, suasana di dalam kafe itu sama seperti upacara pengebumian.
“Suasana seperti inilah yang ramai mahukan pada tengah hari Sabtu,” jelasnya.-Agensi
Berbaring Dalam Keranda Dapat Diskaun Di Kafe 'Kematian'
Reviewed by Unknown
on
April 13, 2018
Rating:
No comments: