KUALA LUMPUR - Menteri Kerja Raya, Baru Bian memohon maaf susulan kenyataan beliau berkaitan pemansuhan tol di Parlimen semalam yang dikritik hebat netizens.
Dalam ciapan terbarunya di laman sosial, menteri tersebut menyedari kenyataannya itu menjadi bualan dan dianggap ‘sombong’.
Menurutnya, beliau memohon maaf sekiranya ada beranggapan sedemikian dan menegaskan beliau tiada niat mengeluarkan kenyataan berbunyi ‘sombong’.
“Saya sedar kenyataan saya di Parlimen semalam menjadi buah mulut dan dikatakan kenyataan sombong.
“Ribuan kemaafan dipohon sekiranya ada berpandangan sedemikian. Tiada niat. Silap saya kerana menggunakan perkataan ‘terpulang’.
“Saya maksudkan ‘rakyat berhak mengharap tol dihapuskan tetapi keadaan kewangan tidak mengizinkan,” tulisnya dalam media sosial miliknya.
Semalam, Baru Bian dilaporkan berkata terpulang kepada rakyat untuk bermimpi melihat negara ini memiliki lebuh raya tanpa tol namun janji untuk memansuhkan tol sedia ada memang sukar dilaksanakan.
“Saya katakan sekali lagi, dasar kerajaan (HARAPAN) ini jelas dan kita tak akan hapuskan tol sampai kewangan negara pulih ke sampai satu tahap sihat.
“Mengenai soalan dibangkitkan adakah rakyat ini bermimpi untuk melihat lebuh raya tanpa tol, itu terpulang,” kata ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) pada sidang Dewan Rakyat. - Sinar Harian
Baru Bian mohon maaf kenyataan ‘sombong’
Reviewed by Admin
on
October 19, 2018
Rating:

No comments: