MIRI, 10 Okt (Bernama) -- Cadangan supaya cuti sekolah dibuat secara berperingkat antara negeri tidak sesuai dilaksanakan di kerana ia akan membawa kesan negatif kepada sektor pendidikan, kata Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional Cawangan Sarawak (PIBGN) Wan Zain Syed Mohdzar.
Beliau berkata penyeragaman cuti persekolahan seperti dilaksanakan sekarang adalah lebih baik dan tidak perlu ditukar.
“Sebagai contoh jika cadangan itu dilaksanakan ia menyukarkan pasangan guru yang mengajar di dua negeri yang berbeza seperti Terengganu dan Sarawak,” katanya kepada Bernama.
Katanya ada kemungkinan pasangan guru itu terpaksa memohon cuti untuk meluangkan masa bersama dengan pasangan atau keluarganya yang sedang bercuti.
“Ini sedikit sebanyak akan menganggu proses pengajaran dan pembelajaran selain daripada menganggu urusan pentadbiran juga kerana cuti persekolahan negeri-negeri tidak sama,” katanya.
Wan Zain berkata jika cadangan itu dilaksanakan kos untuk melancong juga dijangka akan menjadi lebih mahal kerana pengusaha yang berkaitan dengan industri pelancongan akan menaikkan harga sepanjang masa berbanding secara bermusim seperti dilaksanakan sekarang.
“Sebagai contoh sekarang harga kapal terbang hanya akan naik semasa musim cuti sekolah, dan jika cadangan itu dilaksanakan, harga tiket akan naik setiap bulan kerana setiap negeri akan bercuti secara berperingkat,” katanya.
Zain berkata keadaan ini akan menjadikan kos pengangkutan udara semakin mahal kerana syarikat penerbangan akan mengambil kesempatan menaikkan harga atas alasan permintaan tinggi.
Semalam Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan mencadangkan supaya cuti sekolah dibuat secara berperingkat bagi memacu sektor pelancongan dan mengurangkan kesesakan di beberapa tempat tumpuan pelancong tempatan.
Timbalan Menterinya Muhammad Bakhtiar Wan Chik dipetik berkata cadangan itu akan membahagikan negeri?????? di kawasan utara, selatan dan pantai timur supaya tempoh minggu cuti sekolah di negeri berkenaan berbeza antara satu sama lain.
Sementara itu di KUCHING, Pengerusi PIBG SMK St Teresa, Thomas William, bersetuju dengan pandangan Wan Zain bahawa cadangan itu tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan di tempat-tempat tumpuan pelancong semasa musim cuti.
“…. melainkan jika sekolah di setiap negeri, zon atau bahagian diberikan waktu cuti yang jauh berbeza tarikhnya… mungkin beza seminggu, keadaan sebenarnya tetap tidak akan berubah,” katanya.
Beliau berkata maklum balas dari pelbagai pihak, termasuk PIBG, adalah relevan bagi pihak kementerian dalam menampilkan pelaksanaan atau polisi yang sesuai berhubung perkara itu.
-- BERNAMA
Cuti sekolah berperingkat tidak sesuai - PIBG Sarawak
Reviewed by Admin
on
October 10, 2018
Rating:
Reviewed by Admin
on
October 10, 2018
Rating:

No comments: