Seo Services

Isu pembunuhan Khashoggi: Hubungan Malaysia-Arab Saudi kekal kukuh


PUTRAJAYA - Hubungan dua hala Malaysia dengan Arab Saudi kekal kukuh, walaupun komuniti antarabangsa memberi tekanan terhadap Riyadh susulan pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia tidak campur tangan dalam isu itu dan beliau percaya Arab Saudi mampu menyelesaikannya.

"Ketika ramai rakyat kita terkorban dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17, Malaysia kekal dengan pendirian untuk melihat hasil siasatan penuh.

Dalam semangat yang sama, oleh kerana siasatan (terhadap kematian Khashoggi) sudah dimulakan, kita tunggu sahaja siasatan itu selesai," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Mengenai Dasar Luar Negeri (CCFP), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian Malaysia ketika komuniti antarabangsa memberi tekanan kepada Arab Saudi dengan beberapa negara dilaporkan membatalkan penyertaan dalam persidangan pelaburan Arab Saudi di Riyadh susulan pembunuhan Khashoggi.

Semalam, Agensi Akhbar Saudi melaporkan Arab Saudi mengakui Khashoggi dibunuh di dalam konsulatnya di Istanbul.

Menurut laporan itu perbincangan di antara kolumnis akhbar Washington Post itu dan pihak yang ditemuinya di konsulat tersebut berubah menjadi satu pergaduhan yang membawa kepada kematiannya. - Bernama
Isu pembunuhan Khashoggi: Hubungan Malaysia-Arab Saudi kekal kukuh Isu pembunuhan Khashoggi: Hubungan Malaysia-Arab Saudi kekal kukuh Reviewed by Admin on October 21, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.