KUCHING: Satu langkah baharu perlu diambil bagi memastikan setiap janji manifesto yang dibuat dalam proses pilihan raya di negara ini dipenuhi tanpa adanya sebarang alasan, kata Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Muzaffar Syah Mallow.
Justeru, katanya pihak mahkamah amnya harus melihat semula status undang-undang yang diberikan terhadap manisfesto yang dibuat oleh mana-mana ahli atau parti politik.
Beliau menjelaskan dengan mengambil kira keadaan semasa kini, adalah perlu untuk proses penambahbaikan dilakukan bagi melindungi rakyat khususnya para pengundi daripada menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab sewaktu tibanya musim pilihan raya.
“Setiap manifesto yang dibuat oleh mana-mana ahli atau parti politik perlu diikat dengan undang-undang supaya tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana ahli atau parti politik yang tidak memenuhi atau melanggari janji manifesto mereka,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Selain itu, Dr Muzaffar juga menyarankan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil langkah yang proaktif dalam mengatasi isu tersebut.
Tegas beliau, SPR perlu mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu manifesto ini untuk diberikan satu kuasa undang-undang terhadapnya.
“Pindaan boleh dilakukan melalui sebarang akta sedia ada seperti Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] bagi menyelesaikan perkara ini demi melindungi pengundi daripada ditipu atau dikelirukan dengan mana-mana manifesto pilihan raya pada masa akan datang,” ujarnya.
Terdahulu, Dr Muzaffar menegaskan bahawa mana–mana ahli atau parti politik yang membuat janji melalui manifesto pilihan raya perlu bertanggungjawab terhadap semua janji yang telah dibuat oleh mereka itu.
Katanya, amat menyedihkan sekiranya sebarang janji yang telah dibuat dalam manifesto pilihan raya tidak dipenuhi dan ditepati mana-mana ahli atau parti politik setelah mereka memenangi pilihan raya dan memegang kuasa sebagai kerajaan.
Tambah beliau, tindakan sedemikian menunjukkan dengan jelas sikap tidak hormat mereka terhadap para pengundi yang telah memberi kepercayaan dan memberi undi kepada ahli dan parti politik yang telah membuat pelbagai jenis janji dalam manifesto pilihan raya mereka.
Manifesto pilihan raya adalah sebuah dokumen bertulis yang mengandungi janji yang bakal dipenuhi sekiranya ahli atau parti politik yang membuat manifesto terbabit menang dalam proses pilihan raya.
Kesemua janji ini selalunya dilihat sebagai ‘janji manis’ sewaktu pilihan raya yang digunakan untuk memenangi hati rakyat terutama hati pengundi.
Antara janji yang sering dilemparkan adalah yang berkaitan dengan janji untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, janji untuk memberi pelbagai jenis bantuan sosial, janji untuk memberi kemudahan pendidikan dan pengangkutan dan macam-macam jenis janji lagi. - UTUSAN BORNEO
Manifesto pilihan raya perlu diikat dengan undang-undang
Reviewed by Admin
on
October 15, 2018
Rating:

No comments: