Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan PH tahu nama beliau akan dibersihkan daripada sebarang kaitan beberapa kes bunuh jika siasatan ke atasnya dijalankan.
Kata Najib langkah itu juga akan menunjukkan beliau sebenarnya sudah menjadi mangsa fitnah PH selama bertahun-tahun.
Dalam hantaran di Facebook malam tadi bekas presiden UMNO itu berkata kerajaan tetap enggan membuka siasatan khas ke atasnya walaupun ia sudah didesak selama seminggu.
“(Ia) jelas membuktikan saya langsung tidak terlibat dalam kematian Teoh Beng Hock, Altantuya, Kevin Morais dan Hussain Najadi.
“Maka, jika tak mahu menjalankan siasatan khas, tak usahlah kaitkan nama saya dengan kes-kes ini lagi,” katanya.
Nama Ketua Bahagian UMNO Pekan itu sejak dulu dikaitkan dengan beberapa kes pembunuhan berprofil tinggi, terutama melibatkan Altantuya Shaariibuu.
Malah dua anggota polis elit sudah dibicarakan dan disabitkan kesalahan atas kematian wanita Mongolia terbabit.
Terdahulu Najib mengulas kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang yang menyatakan beliau enggan membuat gesaan lagi supaya kerajaan menubuhkan pasukan siasatan khas yang didakwa ada kaitan dengan bekas perdana menteri itu.
Kata Najib, selepas berterima kasih kepada Kit Siang kerana “membersihkan” namanya daripada kematian Beng Hock, Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri itu berang dan menganggap langkah tersebut sebagai tidak rasional.
Namun kata Najib reaksi tersebut menunjukkan Kit Siang sudah tidak ada cara lagi untuk mengenakannnya sehingga secara tiba-tiba enggan memperpanjangkan isu berkenaan.
“Yang tiba-tiba mengeluarkan kenyataan minggu lepas mahu membuka siasatan-siasatan khas kepada kes-kes pembunuhan ialah Kit Siang.
“Selepas saya bersetuju, Kit Siang yang sama tidak mahu lagi mendesak (kerajaan) untuk wujudkan siasatan khas itu.
“Siapa yang tidak rasional, sebenarnya?” tanya Najib. - bnpportal
Najib berterima kasih Kit Siang sendiri bersihkan nama Najib
Reviewed by Admin
on
October 11, 2018
Rating:
Reviewed by Admin
on
October 11, 2018
Rating:

No comments: