DUBAI 27 Okt. – Agensi kebajikan antarabangsa, Oxfam mendedahkan seorang penduduk awam Yemen dibunuh setiap tiga jam di negara itu selain menggesa Amerika Syarikat, Britain dan negara Eropah lain menghentikan penjualan senjata kepada Arab Saudi.
“Seorang penduduk telah terbunuh setiap tiga jam dalam pertempuran di Yemen sejak awal Ogos, ditambah pula krisis penyakit dan kebuluran,” kata Oxfam dalam satu kenyataan.
Memetik data yang dikumpul oleh Projek Pemantauan Kesan Penduduk Awam, dikaitkan dengan kelompok perlindungan global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Oxfam berkata, 575 penduduk tempatan, termasuk 136 kanak-kanak terbunuh dalam tempoh antara 1 Ogos dan 15 Oktober lalu.
“Oxfam menyeru Amerika, United Kingdom (UK) dan negara lain untuk menghentikan penjualan senjata kepada Arab Saudi kerana tidak menghiraukan nyawa penduduk tempatan di Yemen,” kata kenyataan tersebut.
Arab Saudi mengetuai tentera pakatan pro-kerajaan yang bertempur dengan kumpulan pemberontak Houthi Yemen sejak 2015, sekali gus menyebabkan negara itu berdepan krisis kebuluran yang serius.
PBB sebelum ini menyifatkan krisis kemanusiaan di Yemen adalah yang terburuk selain memberi amaran bahawa 14 juta orang berdepan ancaman kebuluran. – AFP/ Utusan Online
Penduduk dibunuh tiga jam sekali
Reviewed by Admin
on
October 28, 2018
Rating:
No comments: