PUNCA yang membawa kepada nahas pesawat Lion Air pada Isnin masih lagi menjadi misteri dalam kalangan pihak berkuasa negara Indonesia.
Pesawat keluaran Boeing itu membawa 181 penumpang bersama enam anak kapal dan dua juruterbang sewaktu ia terhempas, dalam perjalanan dari Jakarta ke Pangkal Pinang.
Menurut badan penyiasat, pengendali pesawat itu membuat permohonan kepada menara kawalan trafik udara untuk kembali ke lapangan terbang, sejurus berlepas.
Pada waktu itu, pesawat baru sahaja terbang sekitar 12 batu (19 kilometer) sahaja.
Apa yang menghairankan, mereka memohon untuk kembali ke lapangan terbang namun tidak mengisytiharkan status kecemasan pada waktu itu.
Data pada radar juga tidak menunjukkan pesawat itu berpatah balik dan ia kehilangan jejak tidak lama selepas permohonan itu.
Bekas inspektor keselamatan Suruhanjaya Pengurusan Penerbangan Amerika Syarikat (AS), David Soucie berkata, perkara itu perlu dilihat secara mendalam.
"Mereka tidak mengisyiharkan kecemasan, ia adalah satu kebimbangan yang perlu diteliti.
"Apa yang pelik kenapa mereka tak isytihar kecemasan, mereka cuma cakap kami akan berpatah balik," ujarnya.
Pada malam sebelum kejadian, pesawat itu yang digunakan dalam penerbangan dari Denpasar ke Jakarta dilaporkan mengalami kerosakan.
Ia bagaimanapun sudah diperiksa oleh jurutera sebelum dibenarkan beroperasi seperti biasa, dedah Pegawai Eksekutif Lion Air, Edward Sirait kepada pemberita tempatan.
Selain faktor teknikal, mereka juga tidak menolak faktor cuaca sebagai punca kejadian itu.
Namun, ia masih belum dapat dipastikan lagi setakat ini.
Malah, kotak hitam pesawat itu masih lagi belum dijumpai. - Edition.CNN./mStar
Penyiasat pelik juruterbang tak isytihar status kecemasan, hanya maklumkan mahu berpatah balik
Reviewed by Admin
on
October 30, 2018
Rating:
No comments: