Seo Services

Polis akan panggil Kit Siang?


Polis akan memanggil tokoh politik tertentu untuk memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat oleh pembantu peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan perlu dilakukan selepas laporan telah dibuat dan ia merupakan prosedur biasa dilakukan.

"Apa yang saya dimaklumkan laporan itu bukan berkaitan terhadap Datuk Seri Najib. Laporan itu dibuat di (IPD) Sentul oleh pembantu beliau (Najib) untuk diambil tindakan terhadap tokoh politik tertentu ekoran ‘allegation’ (dakwaan) yang dibuat.

"Apabila laporan dibuat, maknanya kita akan siasat sahaja dan itu adalah proses normal. Laporan pun baharu dibuat. Jadi kita akan ambil tindakan sewajarnya. Kalau ada keperluan kita akan panggillah (tokoh politik)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembantu peribadi Najib semalam membuat laporan polis meminta pihak berkuasa memanggil Lim Kit Siang untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan beberapa kes pembunuhan yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri itu.

Laporan yang dibuat itu turut menyatakan jika siasatan mendapati Najib tidak bersalah, dia mahu nama majikannya dibersihkan dan meminta polis mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Pada Khamis, Najib dalam status Facebook rasmi beliau, mengarahkan pembantunya membuat laporan polis bagi membolehkan satu penyiasatan polis dijalankan membabitkan dakwaan beliau terbabit dalam kes pembunuhan beberapa individu termasuk model Mongolia, Altantuya Shaariibuu dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais.

Terdahulu, Mohamad Fuzi menyempurnakan Hari Sukan Negara Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Puteri Harbour Marina, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau turut diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai tindakan sabotaj di dalam kerajaan yang menjadi faktor kesukaran memberkas ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

“Setahu saya, PDRM tidak terlibat dalam perkara ini (sabotaj). Kita pun sedang mengesan dia (Jho Low) termasuk meminta bantuan daripada Interpol banyak kali walaupun terdapat masalah teknikal pada peringkat awal.

"Kita juga telah berhubung terus dengan pihak Interpol untuk membantu kita mengesan (Jho Low). Yang terdekat kita dapat tahu dia (Jho Low) ada di Hong Kong, tetapi bila kita hantar pasukan, dia menyelinap masuk ke Macau dan dari Macau kita tidak tahu lagi dia ke mana.

"Jadi, kita sedang berhubung dengan rakan-rakan kita untuk mengesan Jho Low dan bapanya," katanya. Sinar Harian

Polis akan panggil Kit Siang? Polis akan panggil Kit Siang? Reviewed by Admin on October 13, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.