KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membelanjakan RM11 bilion untuk membangunkan infrastruktur seperti jalan dan utiliti di negeri ini dalam tempoh dua tahun akan datang.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata peruntukan RM11 bilion itu akan dibelanjakan untuk membina jalan raya, jambatan, menyediakan bekalan air dan elektrik di seluruh Sarawak.
Beliau memberitahu daripada jumlah itu RM2.8 bilion akan dibelanjakan untuk bekalan air, RM2.3 bilion bagi bekalan elektrik dan kira-kira RM6 bilion untuk membina lebuh raya pesisir.
"Kita tidak pernah membelanja jumlah yang begitu banyak untuk infrastruktur dan ini akan menjadi rekod perbelanjaan Sarawak," katanya berucap pada majlis penutupan program pemukiman ketua-ketua jabatan kerajaan negeri di sebuah hotel di Batu Feringghi, Pulau Pinang semalam.
Abang Johari berterima kasih kepada 140 pegawai utama kerajaan negeri yang menyertai program itu selama tiga hari bagi mencari cara bagi mempercepatkan lagi pelaksanaan semua projek yang diluluskan kerajaan negeri.
Beliau turut mengumumkan dana amanah berjumlah RM200 juta sebagai maklum balas kepada cadangan untuk mempercepat dan meningkatkan lagi kadar kejayaan pelaksanaan projek.
Katanya, dana amanah RM200 juta itu akan menyediakan pembiayaan, bayaran balik selepas pengesahan bajet bagi fasa permulaan projek termasuk pra kajian dan penilaian.
Dalam ucapannya itu beliau memaklumkan kerajaan negeri telah mempertimbang untuk menyediakan geran kepada setiap kelahiran baharu daripada pasangan rakyat Sarawak bermula tahun hadapan.
Katanya dana itu hanya boleh dikeluarkan apabila kanak-kanak berkenaan mencapai umur 18 tahun.
Perkara itu diumumkan beliau semasa berucap pada majlis Lan Berambeh 2018 di Kuala Lumpur Sabtu lepas.
Sementara itu, semasa pemukiman itu pegawai dibahagikan kepada beberapa kumpulan perbincangan untuk mengemukakan cadangan-cadangan kepada kerajaan negeri bagi memastikan penyampaian projek dipercepatkan pada masa sama memperkukuhkan lagi perkhidmatan awam termasuk bantuan kebajikan dibiayai kerajaan negeri.
Abang Johari berkata beliau telah menemui jalan memperoleh lebih banyak hasil untuk Sarawak yang akan digunakan bagi membiayai projek-projek tanpa membelanjakan rizab sedia ada negeri.
"Tunggu sahaja ucapan bajet saya pada 5 November ini," katanya tanpa mendedahkan mekanisme bagaimana hasil negeri akan dijana.
Katanya, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk membiayai semua projek yang telah diluluskan kerana Sarawak tidak boleh bergantung dengan Putrajaya untuk membiayai projek-projek memanfaatkan rakyat.
Abang Johari menyatakan keyakinan bahawa peningkatan perbelanjaan awam ditambah dengan dasar konsisten akan menopang ekonomi negeri dalam tempoh dua tahun akan datang.
Tambahnya, Sarawak seharusnya memanfaatkan penempatan semula industri dari China yang dijangka berlaku memandangkan senario kemungkinan perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat.
Terdahulu, pelbagai kumpulan membentangkan aspek-aspek utama pelaksanaan projek serta mengemukakan cadangan-cadangan kepada Ketua Menteri dan ahli-ahli Kabinet Negeri diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.
Hadir sama Menteri Utiliti Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. - UTUSAN BORNEO
Sarawak sediakan RM11 bilion untuk pembinaan insfrastruktur
Reviewed by Admin
on
October 23, 2018
Rating:

No comments: