Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyuarakan kekecewaan terhadap tindakan kerajaan negeri Sarawak mengekalkan sekatan perjalanan ke atas pesuruhjayanya Jerald Joseph.
Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail berkata, Jerald perlu memasuki Sarawak bagi menghadiri mesyuarat suruhanjaya itu dan beberapa mesyuarat lain yang dijadualkan di negeri itu.
“Halangan sebegini menjejaskan pelaksanaan tugas berkanun Suhakam untuk mempromosi serta melindungi hak asasi manusia di negeri berkenaan.
“Sekatan itu menghalang Suhakam daripada menjalankan mesyuarat suruhanjaya bagi bulan Oktober di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Razali menambah dalam konteks transformasi demokrasi, semua warganegara seharusnya dapat menikmati hak kebebasan bergerak.
“Suhakam menyeru kerajaan negeri Sarawak supaya segera menarik balik sekatan perjalanan terhadap Jerald Joseph,” katanya.
Difahamkan larangan perjalanan kemasukan ke Sarawak terhadap Jerald disebabkan pembabbitan beliau dalam isu empangan hidroelektrik Bakun sebelum ini.
Suhakam sebelum ini memohon supaya Jerald dibenarkan masuk ke negeri itu, tetapi 2 minggu lepas menerima surat daripada kerajaan negeri yang mengekalkan sekatan masuk terhadapnya.
Sebelum ini, selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum ke-14, Naib Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin, turut dilarang memasuki negeri itu. - FMT
Suhakam kecewa pesuruhjayanya tidak dibenar masuk Sarawak
Reviewed by Admin
on
October 18, 2018
Rating:

No comments: