SIBU, 6 Okt (Bernama)-- Syarikat-syarikat minyak yang beroperasi di Sarawak diseru mendirikan stesen-stesen minyak mini di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi membolehkan rakyat menikmati harga rendah dan sama seperti di kawasan bandar.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata,kira-kira 50 hingga 60 stesen minyak mini dicadangkan didirikan di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak mulai tahun depan.
Menurutnya, kementerian memerlukan kerjasama serta penyertaan daripada syarikat-syarikat minyak, kerajaan negeri dan rakyat secara keseluruhan.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Stesen Petronas Jalan Tunku Abdul Rahman 2 di sini hari ini, beliau berkata, tanpa penyertaan dan kerjasama usaha kerajaan tersebut tidak akan berjaya dilaksanakan.
“Kawasan yang mempunyai stesen mini, harga petrol, diesel dan LPG (gas petroleum cecair) dijual pada kadar subsidi kerana kos pengangkutan dibiayai kerajaan melalui program penyeragaman harga yang menelan kos RM98 juta setahun di Sarawak," katanya.
Katanya, kerajaan menyedari syarikat-syarikat minyak mengambil kira faktor permintaan dan keuntungan dalam mendirikan stesen-stesen mini di kawasan luar bandar dan pedalaman tetapi mereka mempunyai peranan dalam membantu kerajaan meringankan bebanan rakyat di kawasan berkenaan.
Terdahulu dalam ucapannya, Chong berkata, di sebab faktor-faktor tersebut tidak banyak stesen mini didirikan di Sarawak.
“Ramai penduduk luar bandar terpaksa membeli minyak dengan harga lebih mahal sedangkan pendapatan mereka kurang tetapi perbelanjaan mereka bagi membeli barangan harian, barangan keperluan termasuk minyak adalah lebih mahal," katanya.
Sementara itu beliau berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah membelanjakan peruntukan sejumlah RM2 bilion untuk mengekalkan harga pasaran runcit sehingga kini petrol RON95 dan diesel sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada Mei lepas.
Chong berkata, daripada peruntukan tersebut sebanyak RM1.3 bilion adalah untuk subsidi petrol RON95 manakala RM770 juta bagi diesel.
Menurutnya, tanpa pemberian subsidi itu harga runcit RON95 dan diesel di negara ini pada hari ini akan melonjak pada tahap RM2.65 seliter dan ia sudah tentu membebankan rakyat. Harga semasa RON95 ialah RM2.20 seliter manakala diesel RM2.18 seliter.
“Harga runcit RON95, kalau ikut polisi ditetapkan kerajaan sebelum ini, iaitu membiarkannya terapung dengan tahap harga antarabangsa, RON95 akan dijual dengan harga RM2.65 (seliter) dan diesel juga boleh melonjak sehingga RM2.65 (seliter) sekarang.
“Keutamaan kementerian sekarang ialah rakyat dapat menikmati harga minyak yang stabil”,katanya.
Sementara itu Ketua Strategi Perniagaan Runcit Petronas Dagangan Berhad (PDB), Abang Jimmy Abang Mordian berkata, pembukaan Stesen Petronas Jalan Tunku Abdul Rahman 2 merupakan stesen minyak Petronas ke-90 di Sarawak setakat ini.
Menurutnya, stesen minyak tersebut merupakan antara tiga stesen minyak yang dibina di Sarawak iaitu di Lambir, Miri dan Kuching pada tahun ini dan sebuah lagi sedang dalam perancangan iaitu di Kuching.
-- BERNAMA
Syarikat minyak diseru buka stesen di luar bandar Sarawak
Reviewed by Admin
on
October 06, 2018
Rating:

No comments: