KUALA LUMPUR 9 Nov. - Kerajaan memberi jaminan penerbitan bon Samurai sebanyak RM200 bilion Yen (RM7.4 bilion) oleh Jepun kepada Malaysia tidak akan melibatkan sebarang pertukaran projek.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penerbitan bon Samurai yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 itu hanya akan digunakan untuk membiayai pinjaman atau dibelanjakan bagi pembangunan negara.
“Tidak ada sebarang ikatan syarat,” katanya kepada pemberita ketika ditanya sama ada jaminan kerajaan Jepun terhadap penerbitan bon Samurai itu melibatkan pertukaran projek antara Malaysia dengan syarikat dari negara Matahari Terbit itu.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat minggu lalu berkata, kerajaan Jepun bersetuju menjamin sehingga 200 bilion Yen (RM7.4 bilion) untuk penerbitan bon Samurai bertempoh 10 tahun.
Ujarnya lagi, penerbitan itu akan dijamin oleh Japan Bank of International Cooperation pada kadar kupon 0.65 peratus dan dijangka terbit sebelum Mac 2019.
Malaysia menyuarakan hasrat untuk mendapatkan pinjaman Yen itu sewaktu pertemuan pertama Dr. Mahathir dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe pada Jun lalu dalam usaha menangani hutang kerajaan. - UTUSAN ONLINE
Bon Samurai: Tiada ikatan syarat
Reviewed by Admin
on
November 09, 2018
Rating:

No comments: