KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg harus secara jelas dan terbuka apabila mendedahkan mengenai seorang timbalan menteri persekutuan yang menyarankan agar kerajaan negeri memansuhkan undang-undang Imigresen Sarawak.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata pendedahan yang dibuat oleh Abang Johari itu tanpa menyatakan secara spesifik timbalan menteri persekutuan yang dimaksudkannya adalah tindakan yang tidak baik.
“Beliau sepatutnya terbuka dan tidak membuat kenyataan umum secara separuh jalan, hanya untuk mewujudkan kecurigaan atau sindiran kepada seseorang.
“Niatnya mungkin untuk mengutuk saya kerana saya satu-satunya timbalan menteri persekutuan dari Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Konvensyen Biasa DAP Sarawak Ke-18 yang disempurnakan oleh Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Crown Square, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Chong menafikan sekiranya beliau yang dimaksudkan oleh Abang Johari berhubung dengan dakwaan tersebut.
“Saya tidak tahu siapa timbalan menteri persekutuan yang dimaksudkan oleh beliau (Abang Johari) tetapi saya tidak pernah berjumpa beliau dalam tempoh dua bulan ini.
“Yang pastinya, bukan saya yang menyuarakan perkara ini (memansuhkan undang-undang Imigresen Sarawak) tetapi saya rasa, sesiapa sahaja menteri, timbalan menteri, Ahli Parlimen, ADUN bahkan rakyat biasa Sarawak tidak akan memikirkan idea memansuhkan autonomi Imigresen yang kita nikmati ini,” ujarnya.
Abang Johari dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) baru-baru ini, berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetap akan mempertahankan autonomi Sarawak ke atas bidang imigresen seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ia setelah seorang timbalan menteri persekutuan semasa memberikan kunjungan hormat kepadanya baru-baru ini menyuarakan agar undang-undang Imigresen Sarawak dimansuhkan, kerana salah seorang pemimpin mereka disekat untuk datang ke Sibu. - UTUSAN BORNEO
Chong minta Abang Jo Dedah Timbalan Menteri Saran Mansuh Undang-Undang Imigresen
Reviewed by Admin
on
November 04, 2018
Rating:

No comments: