![]() |
Foto Utusan Borneo |
KUCHING: Sarawak akan memperkasakan program ‘Pawah’ sebagai kaedah meningkatkan bekalan lembu, di mana haiwan tersebut akan dibekalkan kepada penternak terpilih.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata seperti tahun lepas dan tahun ini, Kerajaan Sarawak akan terus membeli 640 ekor lembu untuk diedarkan di bawah sistem ‘Pawah’ pada tahun depan.
Katanya, keutamaan bagi penternak yang akan dipilih adalah yang memiliki ladang kelapa sawit, ladang nanas serta individu yang berminat.
“Saya percaya, ini adalah cara terbaik untuk meningkatkan ternakan lembu kita kerana apabila mempunyai lembu yang banyak, maka kita dapat menurunkan harga daging lembu segar terutama ketika waktu permintaan yang sangat besar seperti Hari Raya Korban,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat ladang ternakan lembu milik Mahmud Mohd Nor di Kampung Sungai Rayu, Matang dekat sini semalam.
Menurut Uggah, ketika ini harga bagi satu kilogram daging lembu segar tempatan adalah lebih RM20 dan harga bagi seekor lembu seberat 300 kilogram boleh mencecah sehingga RM6,000.
Selain itu, beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata kementeriannya merancang memanfaatkan teknologi moden seperti inseminasi buatan bagi meningkatkan kelahiran lembu di negeri ini.
“Kami berharap untuk mempunyai ramai orang terlatih dalam teknik ini agar dapat bekerjasama dalam usaha dan matlamat mencapai tahap kecukupan diri (SSL) sendiri,” ujarnya. - UTUSAN BORNEO
Program ‘Pawah’ diperkasa untuk tingkat bekalan lembu
Reviewed by Admin
on
November 29, 2018
Rating:

No comments: