KUCHING - Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak masih menunggu kelulusan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) untuk meneruskan projek pembinaan auditorium di Hospital Umum Sarawak (HUS) yang terbakar dan mengorbankan seorang pekerja binaan pada 15 Februari lalu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa DOSH di bawah Kementerian Sumber Manusia sudah pun selesai menyiasat kes kebakaran tersebut.
Bagaimanapun katanya, hasil siasatan tersebut belum diserahkan kepada kementeriannya dan perkara tersebut menyebabkan belum ada keputusan dibuat sama ada projek itu akan diteruskan atau tidak.
"Siasatan terhadap apa-apa kes kemalangan di tapak pembinaan adalah menjadi tanggungjawab DOSH untuk menentukan apakah puncanya.
"Dalam kes kebakaran di auditorium dalam pembinaan di HUS, DOSH bertanggungjawab menyiasat tempat kemalangan dan kawasan itu ditutup sehingga siasatan selesai," katanya kepada pemberita ketika ditemui ketika Penutupan Karnival Fiesta Mesra Belia 1Malaysia Peringkat Bahagian Kuching di Kompleks Sukan Satok di sini hari ini.
Beliau mengulas perkembangan siasatan kes kebakaran di HUS pada 15 Februari lalu yang mengakibatkan seorang pekerja binaan maut selepas terperangkap dalam asap tebal.
Menurut Fadillah, selepas memperoleh laporan siasatan, barulah pihaknya boleh mengambil tindakan sewajarnya terhadap projek pembinaan yang tertangguh itu.
Katanya, beliau sendiri belum pasti bilakah boleh mendapatkan laporan daripada DOSH dan membuat keputusan lanjut berhubung projek tersebut.
"Sehingga sekarang, kelulusan itu (meneruskan projek) belum dicapai dan kita masih memantau dan menunggu keputusan DOSH, apakah hasil siasatan serta bilakah kerja pembaikan dan pembinaan semula dapat dilaksanakan," ujarnya.
Beliau berkata, berdasarkan hasil siasatan nanti, barulah pihaknya boleh mengambil beberapa tindakan di bawah bidang kuasa kementeriannya.
Fadillah berkata, sekiranya punca kebakaran dikenal pasti akibat kecuaian kontraktor, maka tindakan boleh dikenakan terhadap pihak terlibat dalam projek tersebut kerana kontraktor berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di bawah Kementerian Kerja Raya.
Reviewed by Admin
on
April 08, 2014
Rating:
No comments: