KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta mengkaji semula kebebasan yang diberikan dalam media sosial supaya tidak disalah guna pihak tertentu sehingga merosakkan nama baik negara yang dibina sejak berpuluh tahun lalu.
Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berkata, tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370 menunjukkan bagaimana pihak tertentu mengambil kesempatan menambahkan suasana tidak baik sehingga memberikan ruang kepada media asing untuk memburukkan nama Malaysia.
Beliau berkata, kebebasan yang diberikan dalam media sosial tidak akan bermakna sekiranya masa depan negara boleh musnah yang akhirnya akan menyebabkan rakyat menderita.
"Kita minta kerajaan mengkaji dan melihat semula perkara ini atau kita beri penekanan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya memainkan peranan besar untuk menangani perkara ini.
"Kita tengok Singapura dan China pun tidak memberikan kebebasan sepenuhnya kepada rakyat dalam media sosial. Tindakan ini sebenarnya untuk menjaga masa depan negara dan rakyat," katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2013) 2014 Bacaan Kali Kedua di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Shamsul Anuar juga meminta kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan mengambil langkah tersusun agar kehilangan pesawat MH370 tidak akan menjejaskan industri pelancongan negara terutama kedatangan pelancong dari China dalam Tahun Melawat Malaysia 2014.
"Sebelum ini, negara kita diiktiraf sebagai destinasi keempat pelancongan terbaik di dunia. Sudah tentu kita bukan hanya mahu kekal di tahap keempat tetapi hendak meningkatkan lagi sebagai pilihan pertama atau kedua.
"Begitu juga dengan program inap desa Malaysia. Kita diiktiraf menawarkan program inap desa yang terbaik di dunia. Kejayaan ini hasil keadaan negara yang aman dan selamat," katanya.
Reviewed by Admin
on
April 08, 2014
Rating:
No comments: